Jue Aziz telah pun berhijrah dan mengambil keputusan untuk bertudung sepenuhnya sejak Rabu minggu lalu. Pelakon yang memang jelita ini kelihatan semakin menawan dan cantik sejak tampil dengan imej baru ini. Apa yang menarik tentang penghijrahan Jue Aziz ini adalah kisah di sebaliknya. Cara hidayah itu sampai kepada Jue Aziz cukup menyentuh hati dan perasaan, lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan pemergian ayah tercinta ke rahmatullah.
31 Julai lalu, ayah Jue Aziz telah pun meninggal dunia akibat serangan jantung. Sebelum ini, ibu bapa Jue Aziz turut meminta pelakon ini memakai tudung namun hatinya masih tidak tergerak walaupun adik beradik yang lain kesemuanya sudah menutup aurat. Bagi Jue, dia# tidak mahu bertudung hanya kerana orang lain menyuruhnya. Namun apabila Jue Aziz bermimpi kehadiran ayahnya, segala-galanya berubah. Kata Jue:-
Alhamdulillah, penghijrahan saya dipermudahkan Allah. Malam Ahad lalu ketika saya ambil wuduk untuk solat, hati saya dirundung perasaan rindu teramat pada arwah ayah. Saya teringin sangat menatap wajahnya dengan senyuman.
Malam itu, ketika tidur, saya mimpikan ayah. Malangnya, ayah tidak senyum sehingga saya memegang kedua-dua belah pipinya untuk memaksanya senyum.
Keesokannya, pada hari Isnin saya pergi ke kubur arwah ayah dengan dua kakak. Setibanya di kubur ayah, saya berasa tenang sekali. Saya tidak dapat gambarkan perasaan #tersebut. Lalu, saya menceritakan mengenai mimpi tersebut kepada kakak kedua.
Dengan nada lembut kakak memberitahu, mungkin itu pesanan daripada Allah meminta diri saya berubah untuk bertudung. Saya terus menangis dan memeluk kakak. Tiba-tiba pintu hati saya untuk memakai tudung dibuka luas-luas. Saya cakap pada kakak, maknanya Allah dengar doa saya. Maknanya Allah sayangkan saya.
Selepas melawat kubur ayah, saya terus ajak kakak beli tudung. Saya rasa inilah masanya untuk saya bertudung penuh sehingga menutup dada. cukup-cukuplah penampilan saya sebelum ini.-BeautifulNara