Isu 2.6 Bilion Akan Batalkan PRU13 Untuk Pilihan Raya Semula

Umno BN mengekalkan kuasa dalam PRU lalu apabila mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan walaupun kehilangan undi popular.

Malah ketelusan SPR menjalankan pilihan raya tersebut turut diragui.

Ia termasuk kegagalan suruhanjaya itu memastikan dakwat kekal yang digunakan bagi mengelak penipuan berlaku dapat berfungsi dengan baik.

“Natijahnya, SPR telah bersubahat dalam konspirasi untuk memusatkan kuasa dalam tangan Umno BN dengan membelakangi perlembagaan,” kata Nurul Izzah.

Justeru katanya, saman sivil yang dikemukakan itu bagi menuntut supaya keputusan pilihan raya lalu dibatalkan.

“Termasuklah bukti transaksi korup yang berlaku dalam PRU 13 yang lalu telah menzahirkan saman yang menuntut agar keputusan PRU 13 bagi semua 222 kerusi dibatalkan.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan tiga yang lain termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kini berhadapan saman sivil ekoran pendedahan transaksi korup bernilai RM2.6 bilion yang didakwa digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) lalu.

Turut dinamakan sebagai defendan dalam saman yang dikemukakan KEADILAN itu adalah syarikat pelaburan strategik negara yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Saman itu dipimpin oleh Ketua Umum, Saudara Anwar Ibrahim; Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua; Pengarah Pilihan Raya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, dan seorang lagi pemimpin pembangkang, Dr Dzulkefly Ahmad.

Ia difailkan di Mahkamah Jalan Duta pagi tadi melalui peguam Tommy Thomas.

“Saman ini adalah tindakan lanjut daripada pendedahan Wall Street Journal (WSJ) berkenaan wang RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib bagi kegunaan kempen PRU 13 dan terkini diakui sebagai ‘wang derma’,” jelas Nurul Izzah yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Pusat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menegaskan, jika ‘derma’ tersebut telah secara keseluruhannya digunakan bagi tujuan tersebut ia sama sekali telah melanggar peraturan pilihan raya.

“Ini mendedahkan pelbagai rasuah dan taktik korup telah digunakan Umno BN dalam meraih kemenangan dalam PRU 13 lalu.

“Ternyata RM2.6 bilion yang digunakan ini melebihi 26 kali ganda had dibenarkan seperti yang digariskan oleh undang-undang Malaysia,” tegasnya pada sidang media di ibu pejabat parti.

Seksyen 19 Akta Pilihan Raya 1954 hanya membenarkan belanja RM200,000 bagi calon Parlimen dan RM100,000 bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Dzulkifli yang merupakan calon PRU 13 ketika menjawab soalan pemberita mengenai kemusykilan bagaimana keseluruhan wang tersebut boleh diandaikan telah digunakan untuk memenangkan Umno BN dalam PRU lalu berkata, ia dapat disahkan melalui kenyataan Najib sendiri.

Najib yang bertindak melantik beberapa Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang terlibat dalam siasatan ke atas skandal 1MDB menganggotai barisan kabinetnya baru-baru ini dipetik berkata, dia tidak menggunakan apa-apa dana diperoleh bagi kepentingan peribadinya.

Pengerusi Biro Guaman KEADILAN, R Sivarasa sementara itu menambah, ia boleh dibuktikan dengan memanggil Najib untuk dibicarakan di mahkamah.

“Bila perbicaraan bermula, kita akan dapat tahu dari mana punca dana tersebut datang, berapa banyak digunakan dan untuk tujuan apa, kita boleh tahu perkara sebenar,” jelasnya kepada pemberita.

“Dan sebuah pilihan raya umum yang baru perlu diadakan,” tegas tokoh reformasi itu. –Keadilan Daily / (Oleh Azuan Ab Rahman)

0 comment... add one now