Jho Low Hantar Wakil Temui SPRM Nik Faisal Masih Menghilang


Ahli perniagaan Low Taek Jho akan menghubungi pihak berkuasa anti rasuah Malaysia bagi membantu siasatan terhadap kes SRC International Sdn Bhd, kata jurucakapnya hari ini, beberapa jam selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta beliau dan 2 lagi individu tampil bagi membantu siasatan.


Ahli perniagaan Low Taek Jho menerusi jurucakapnya berkata akan menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu siasatan terhadap kes SRC International Sdn Bhd. – Gambar Reuters

Low, lebih dikenali sebagai Jho Low, dan bekas pengarah urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil serta pengarah SRC International Datuk Suboh Md Yassin dinamakan dalam satu notis SPRM dihantar kepada media hari ini.

“Low sudah melihat laporan media mengatakan SPRM meminta bantuan beliau. Ini kali pertama beliau dimaklumkan wujud permintaan begitu.

“Beliau tidak menerima atau dikemukakan dengan sebarang notis. Wakil Low akan menghubungi SPRM untuk melihat bagaimana beliau boleh membantu,” kata jurucakapnya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

SRC International merupakan bekas anak syarikat pelabur strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang kini sedang disiasat dan disusun semula berhubung hutangnya yang mencecah lebih RM42 bilion.

“Ketiga-tiga mereka dikehendaki menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Penolong Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 010-318 7757 atau 03-8890 0752 atau penolong pesuruhjaya Norkhafizin Isa di talian 019-600 0345 atau 03-88900754,” kata Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki dalam satu kenyataan.

SPRM juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat di mana ketiga-tiga mereka berada agar menghubungi pegawai penyiasat kes itu atau mana-mana pejabat SPRM terdekat.

SRC International merupakan anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada Februari 2012.

Ia juga mengambil pinjaman RM4 bilion yang disokong kerajaan daripada dana pencen kerajaan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

SRC International dinamakan dalam satu pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai sebagai salah satu syarikat berkaitan 1MDB yang terlibat dalam aliran wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Menurut WSJ dan Sarawak Report, Nik Faisal mempunyai kuasa guaman ke atas akaun Datuk Seri Najib Razak itu.

Suboh juga merupakan pemegang saham Gandingan Mentari, satu lagi syarikat yang terlibat dalam aliran wang itu.

Daripada jumlah itu, AS$11.1 juta (RM42 juta) berasal dari SRC International dan disalurkan ke dalam syarikat lain – Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana – sebelum ia berakhir di akaun Najib dalam transaksi yang dijalankan antara Disember 2014 dan Februari tahun ini, menurut WSJ, yang memetik dokumen daripada penyiasat kerajaan Malaysia.

Kedua-dua Suboh dan Nik Faisal sebelum ini dilaporkan dikehendaki SPRM tetapi tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. – TMI

0 comment... add one now