Remaja Umur 13 Tahun Antara Yang Ditangkap Di Melaka
MELAKA 4 Mac - Polis menahan 35 wanita warga asing termasuk seorang remaja berusia 13 tahun dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Banda Hilir di sini awal hari ini.
Ketika serbuan lebih dua jam bermula 12.30 pagi tadi, kesemua mereka yang terdiri daripada 32 wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga Indonesia sedang leka melayan pelanggan di premis tersebut.
Ketua Unit Pencegahan Maksiat, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, ASP Shahrulnizam Jaafar berkata, hasil siasatan mendapati 34 wanita terbabit menyalahguna pas lawatan sosial, manakala remaja warga Vietnam itu dipercayai menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia.
"Kesemua wanita tersebut dipercayai memasuki negara ini menerusi sindiket pelacuran sejak awal tahun lepas menggunakan laluan darat dan udara," katanya kepada Bernama. - BERNAMA