"Adakah saya akan melepaskan jawatan saya ini, itu adalah keputusan peribadi yang hanya akan dilakukan selepas ini apabila segalanya selesai," kata beliau ketika ditanya pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau bersama-sama dengan Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof menerangkan bahawa perkara utama yang sangat penting untuk dilakukan pada saat ini ialah mencari pesawat tersebut yang disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang media tergemparnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mengesahkan bahawa perjalanan pesawat MH370 itu telah berakhir di selatan Lautan Hindi.
Pengesahan itu dilakukan selepas menerima maklumat kedudukan terakhir pesawat itu yang didasarkan kepada maklumat daripada data satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, INMARSAT dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) dan mendapati pesawat Boeing 777-200 itu telah terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.
Sementara itu, Ahmad Jauhari juga menegaskan bahawa meskipun terdapat banyak permintaan dari keluarga dan waris penumpang pesawat tersebut dari negara China untuk terbang ke Australia bagi mengikuti perkembangan pencarian pesawat tersebut, kebenaran visa untuk ke negara tersebut hanya akan diberi oleh pihak Australia apabila bukti-bukti sahih mengenai penemuan pesawat tersebut di sekitar perairan negara itu benar-benar dijumpai.
"Kami telah diberitahu oleh pihak berkuasa Australia bahawa visa hanya akan diberi atau dikeluarkan apabila bukti-bukti sahih terhadap pesawat tersebut telah berjaya di temui," katanya.
Pihak MAS kini telah menyerahkan sepenuhnya siasatan kehilangan kepada pihak berwajib.
Dalam pada itu, pihak MAS telah menyediakan program komprehensif sokongan kepada keluarga dan waris penumpang MH370 dimana seramai 700 kaunselor telah disediakan.
"Setiap keluarga akan disediakan dengan dua kaunselor ini dimana mereka ini akan memberi bantuan sokongan, kauseling emosi, dan kebajikan kepada mereka dan dalam masa 72 jam seramai 40 kaunselor lagi telah ditambah demi memberi membantu keluarga-keluarga yang ditimpa kesusahan ini," katanya.-astro awani