Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, dakwaan itu hanya satu usaha memburukkan Malaysia oleh pihak yang mahu masyarakat antarabangsa mempercayai bahawa kerajaan negara ini menyembunyikan maklumat apa yang didakwa sebagai fakta sebenar di sebalik kehilangan MH370.
"Mesej itu dibuat oleh orang. Mustahil dalam tempoh 22 hari, dengan begitu banyak negara terlibat dalam usaha mencari secara besar-besaran, perkara ini boleh disimpan sebagai rahsia. Bagi saya, ini tidak logik. Media asing sengaja membesarkannya sebagai berita sensasi untuk memburukkan imej Malaysia," katanya.
Dalam mesej internet bertarikh 19 Mac lalu, pengirim yang mengaku dirinya 'Philip Wood' itu mendakwa mereka ditahan sepasukan anggota tentera selepas pesawat MH370 dirampas.
'Wood' mendakwa ketika rampasan itu, matanya ditutup dan dia percaya, telah diberikan dadah oleh perampas.
Apa yang lebih mengejutkan, pengirim mesej itu juga mendakwa dia dan penumpang lain ditahan di Pulau Diego Garcia di mana dia ditempatkan dalam sel yang berasingan daripada penumpang lain.
"Saya menyembunyikan telefon di dalam dubur, membolehkan saya menghantar mesej ini," tulis 'Wood'.
'Wood' yang nama itu sememangnya direkodkan sebagai seorang daripada 227 penumpang MH370, rakyat Amerika Syarikat dan merupakan eksekutif kanan IBM berpangkalan di Beijing
sejak dua tahun lalu, menyertai penerbangan MH370 dalam perjalanan pulang selepas menyelesaikan urusan kerjanya di negara ini.
Dia juga memuat naik gambar profilnya yang setelah dikaji, menggunakan perisian tertentu dirakam di Diego Garcia bertarikh 18 Mac 2014.
Orang ramai turut memberi reaksi terhadap mesej yang diragui itu malah, ada yang menganggap tidak masuk akal.-sinarharian