Zarina Anjoulie Disaman Kerana No Plat BMW Dan Orang Dalam JPJ Turut Terlibat


(gambar hiasan)

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan memfailkan saman terhadap pelakon Zarina Anjoulie, kerajaan dan empat lagi atas dakwaan berlaku kecuaian serta penipuan membabitkan sebuah kereta mewah milik arwah bapanya.

Kevin Shah Kadar Shah, 33, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Jeev Anand & Partners di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 13 November tahun lepas.

Beliau turut menamakan pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Kementerian Pengangkutan Malaysia, kerani penghantar surat Salleh Idris dan Public Islamic Bank Berhad sebagai defendan.

Pada prosiding hari ini, Hakim Hue Siew Kheng yang mendengar kes itu dalam kamar, menetapkan 7 April depan untuk mendengar permohonan plaintif bagi meminda penyataan tuntutan dan permohonan Salleh bagi membatalkan saman terhadapnya.

Peguam J.Jev Anand mewakili Kevin Shah, peguam YK Leong mewakili Salleh manakala Peguam Persekutuan Nur Aqilah Ishak bagi pihak kerajaan, JPJ Negeri Selangor dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Penyataan tuntutan Kevin Shah mendakwa arwah bapanya, Kadar Shah Sulaiman membeli sebuah kereta terpakai jenis BMW dengan nombor pendaftaran WTN 8850 yang didaftarkan atas nama bapanya pada 17 Mei 2010 dan menandatangani perjanjian sewa beli dengan Public Islamic Bank pada 11 Mei, tahun sama.

Beliau mendakwa bapanya meminjamkan kereta itu kepada Zarina, yang merupakan rakan Kadar Shah, sekitar Jun 2010 untuk kegunaan harian dan kereta itu masih dalam milikan pelakon berkenaan sehingga bapanya meninggal dunia pada 19 November 2011.

Kevin Shah mendakwa selepas kematian bapanya, Zarina tidak pernah memulangkan kereta itu dan sebelum beliau sempat menghubunginya untuk berbincang, pihak bank menarik kereta berkenaan selepas ansuran bulanan gagal dilunas mengikut perjanjian.

Ahli perniagaan itu mendakwa Public Islamic Bank memulangkan kereta berkenaan kepadanya pada 21 Febuari tahun lepas setelah beliau melunaskan segala tunggakan ansuran bulanan.

Bagaimanapun, Kevin Shah berkata beliau terkejut apabila mendapati kereta itu didaftarkan dengan nombor pendaftaran BLP 8858 sedangkan bapanya tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada JPJ untuk mendaftarkan kenderaan miliknya dengan nombor BLP 8858.

Kevin Shah juga mendakwa Kementerian Pengangkutan, melalui surat bertarikh 18 Mac 2013, memaklumkan bahawa nombor WTN 8850 telahpun didaftarkan ke atas kenderaan lain, iaitu sebuah motosikal atas nama bapanya, manakala nombor BLP 8858 didaftarkan bagi kereta BMW itu.

Beliau berkata JPJ, melalui surat bertarikh 3 Jun 2013, menyatakan pertukaran nombor pendaftaran antara kereta dan motosikal itu dibuat pada 14 Febuari 2012 namun perkara berkenaan adalah mustahil kerana bapanya telah meninggal dunia sebelum tarikh pertukaran.

Oleh itu, Kevin Shah mendakwa sebarang permohonan yang diterima JPJ tidak pernah ditandatangani bapanya dan mendakwa jabatan berkenaan gagal mengesan tandatangan yang terkandung dalam permohonan untuk pertukaran nombor WTN 8850 dari kereta kepada motosikal dan juga pertukaran nombor BLP 8858 dari motosikal kepada kereta.

Beliau juga mendakwa Zarina, Salleh dan Public Islamic Bank berkomplot melakukan penipuan ke atas bapanya bagi penukaran nombor kereta dan motosikal itu bagi tujuan melenyapkan kereta berkenaan daripada milikan Kadar Shah.

Kevin Shah menuntut ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, selain memohon deklarasi bahawa pertukaran nombor pendaftaran kereta dan motosikal itu adalah tidak sah dan terbatal. - Bernama

0 comment... add one now