Objek Terkini Dipercayai Serpihan Pesawat MH370


SYDNEY : Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja New Zealand berjaya menemui objek terapung di kawasan pencarian serpihan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang baru di Lautan Hindi.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, ia sedang menunggu imej daripada pesawat Orion itu yang dalam perjalanan pulang ke pangkalan.

Penemuan ini hanya boleh disahkan oleh kapal yang dijangka tiba di kawasan berkenaan esok, kata AMSA di laman Twitternya.

Kawasan pencarian MH370 berubah hari ini kepada 1,100 kilometer ke arah timur laut selepas pihak berkuasa Australia menerima maklumat radar terbaru dari Malaysia.

Zon pencarian terbaru yang terletak 1,850 kilometer di barat Perth dikenal pasti selepas analisis maklumat radar terbaru daripada pakar Boeing yang menyertai pasukan penyiasat antarabangsa di Kuala Lumpur.

Sebanyak sepuluh pesawat dari Australia, China, Jepun, New Zealand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat di kawasan baru itu hari ini. - Agensi

0 comment... add one now