Ibu Berebut Anak Dengan Perompak Dalam Hilux
Shah Alam: “Tak bagi kunci, aku bunuh anak lu (kau).” Itu ugutan diterima mangsa cubaan rompakan kereta, seorang wanita berusia 34 tahun, apabila enggan menyerahkan kunci kenderaan pacuan empat roda model Toyota Hilux kepada seorang penjenayah.Dalam kejadian jam 7.30 pagi kelmarin, mangsa dikatakan baru selesai membeli barang keperluan di sebuah kedai serbaneka berhampiran Taman Anggerik, Kota Kemuning di sini.
Mangsa bagaimanapun mendakwa terkejut apabila disergah seorang lelaki yang tiba-tiba muncul sebelum mengacukan parang.
“Saya yang baru menghantar anak sulung ke Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Rimau, di sini, menyedari diekori sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam sebelum itu.
“Selepas selesai membeli barang, saya meletakkan anak perempuan berusia tiga tahun di tempat duduk belakang, Namun seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tiba-tiba menengking dan mengarahkan saya menyerahkan kunci kepadanya,” katanya.
Dia tambah panik apabila suspek merentap anaknya sebelum mengacukan parang.
“Saya cuba sedaya upaya untuk menarik tubuh anak saya, yang ketika itu menangis ketakutan. Namun penjenayah enggan melepaskan cengkaman dan mengugut mahu membunuhnya.
“Saya turut menjerit sekuat hati dengan harapan ada individu yang melihat insiden itu dan menolong. Malah, saya menyebut Allah SWT berulang kali,” katanya.
Menurutnya penjenayah akhirnya melepaskan tubuh anaknya selepas mereka tarik-menarik lebih 10 minit sebelum melarikan diri.
“Mujur anak perempuan saya hanya mengalami luka kecil di kakinya kerana terkena parang,” katanya.
Dia kemudian bergegas mendukung anaknya itu sebelum lari ke sebuah kedai serbaneka berhampiran untuk mencari perlindungan.
“Suami yang datang membantu kemudian membawa saya membuat laporan di Balai Polis Shah Alam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Komisioner Azisman Alias mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397, Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.-myMetro