Mendedahkan bahawa masih solo dan tidak menjalinkan sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana wanita, dia memberitahu, saat ini dirinya selesa dengan kehidupan yang dilalui serta fokus kepada bidang kerjaya yang diceburinya sekarang.
Namun begitu, bekas pengacara program Sehati Berdansa itu mengakui tentang timbulnya persepsi segelintir pihak yang beranggapan bahawa dia lebih meminati kaum sejenis memandangkan status bujangnya itu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Fahrin yang ditemui semasa majlis pelancaran Power Root Anda Boleh Jadi Jutawan 4 yang berlangsung di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Kosmo!: Usia Fahrin sudah menjangkau 35 tahun tetapi masih lagi belum berumah tangga. Adakah anda tidak pernah terlintas untuk berkahwin dalam masa terdekat ini?
FAHRIN: Kalau ditanya tentang perkahwinan, saya akui tidaklah terlalu mencari gadis yang mahu dijadikan teman hidup, namun saya tidaklah menunggu jodoh itu datang sendiri.
Apa yang saya nampak sekarang ini, berkemungkinan besar jodoh saya adalah dalam kalangan rakan-rakan wanita yang saya kenali. Tidak mustahil juga saya akan bercinta selepas berkahwin dengan pasangan saya nanti.
Adakah dalam kalangan rakan-rakan wanita anda yang ingin menjalinkan hubungan yang lebih serius?
Buat masa ini, saya melihat mereka lebih selesa untuk sekadar menjalinkan hubungan persahabatan sahaja. Mungkin salah satu puncanya kerana status saya sebagai seorang selebriti serta kisah lampau saya dengan beberapa orang selebriti dahulu.
Biarpun kini selebriti yang pernah dikaitkan dengan saya dahulu sudah selamat mendirikan rumah tangga, ia langsung tidak memberikan sebarang tekanan kepada diri saya dan berasa tenang dengan kehidupan yang dilalui sekarang.
Bagaimanakah pula kalau ada yang melabelkan anda seorang gay memandangkan status anda sekarang ini?
Kalau ada yang cuba melabelkan sebegitu, saya cuma boleh katakan bahawa ia merupakan satu perkara yang sangat mengarut. Orang yang mengenali diri saya dengan lebih rapat sudah tentu tahu diri saya yang sebenar.
Pernahkah Fahrin cuba didekati oleh golongan lelaki yang meminati kaum sejenis?
Tidak dinafikan yang perkara itu memang pernah berlaku sebelum ini, malah lebih teruk lagi ada yang menghantar gambar separuh bogel kepada saya menerusi aplikasi WhatsApp.
Saya ini bukanlah jenis yang suka memilih kawan dan tidak kisah untuk berkawan dengan sesiapa sahaja tetapi kalau ada yang melakukan perbuatan melampau sebegitu, sudah tentu saya akan menjauhkan diri.-kosmo