Khairy Berang Dengan Zulkifli Hina Mendiang Karpal Singh


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (gambar) hari ini membidas bekas Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin susulan kenyataan tidak sensitifnya berhubung kematian pemimpin DAP Karpal Singh.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata kenyataan Zulkifli menerusi Twitter itu tidak menggambarkan sikap sebenar seorang Islam atau rakyat Malaysia dan beliau malu dengan perbuatan tersebut.

"Sebarang kenyataan yang mempolitikkan kematiannya (Karpal Singh) dalam bentuk sedemikian rupa yang dilakukan oleh Zulkifli Noordin langsung tidak mencerminkan sikap rakyat Malaysia dan orang Islam.

"Saya malu dengan individu ini dan saya malu beliau bertanding bagi Barisan Nasional dalam pilihan raya lepas dan kita tidak harus meletakkan beliau sebagai calon lagi," katanya selepas melancarkan Forum "Women@Work" di Kuala Lumpur.

Zulkifli dalam entrinya menerusi @zulkiflinoordin berkata: "Dalam keadaan kemelut kerajaan Pas Kelantan mahu melaksanakan hudud dengan bantuan Umno, Allah telah mematikan Karpal yang menjadi penentang utama pelaksanaannya'.

Khairy membuat kenyataan balas menerusi @zulkiflinoordin dengan "Shut up. Really, shut up". (Diam. Betul-betul, diam).


Dalam pada itu Khairy turut mengucapkan takziah kepada keluarga Karpal Singh.

Bekas Pengerusi DAP Kebangsaan dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu serta pembantu peribadinya terbunuh dalam nahas di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Gua Tempurung, Kampar, awal hari ini. – Bernama, 17 April, 2014



Bekas naib presiden PERKASA Zulkifli Noordin menukar nadanya selepas dicemuh oleh pelbagai pihak ekoran kenyataannya yang didakwa tidak sensitif terhadap kematian ahli politik veteran Karpal Singh.

Zulkifli pagi ini menulis di Twitternya, Allah mematikan Karpal “yang menjadi penentang utama” pelaksanaan” hudud.

Beberapa jam selepas menulis sedemikian, Zulkifli meluahkan rasa sedih dan memperakui perjuangan Karpal menentang ketidakadilan sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat dan peguam.

Zulkifli malah menganggap ahli parlimen Bukit Gelugor itu sebagai kawannya.

"Kepada Karpal, 'ngauman' untuk rakyat miskin dan suara menentang ketidakadilan sama ada di Parlimen atau di mahkamah akan dirindui ramai.

“Selamat tinggal kawanku!" tweet beliau dalam bahasa Inggeris kira-kira jam lima petang tadi.

Beliau turut memberi ucapan takziah kepada ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang juga anak Karpal.

Selain itu, beliau berkata Karpal sebagai peguam kanan itu tidak pernah kedekut ilmu dan sentiasa bersedia membantu dan memberi idea cara-cara pengendalian kes-kes mahkamah.

"Kepada kawan saya Gobind Singh Deo dan keluarga, terimalah sedalam-dalam takziah saya. Saya pasti nama Karpal akan ditempa dengan emas dalam sejarah Malaysia." tweet beliau lagi. sumber

0 comment... add one now