Gabungan Teknologi 12 Negara Belum Temui Pesawat MH370

Gabungan Teknologi 12 Negara Belum Temui Pesawat MH370
SEPANG - Hari ini sudah masuk hari keenam pesawat MH370 dilaporkan hilang namun masih tiada perkembangan positif yang disampaikan pihak berkuasa.

Apa yang menyedihkan, pelbagai tuduhan dikenakan ke atas negara ini termasuk sengaja melewat-lewatkan operasi mencari serta dikatakan sengaja menyembunyikan maklumat tentang operasi mencari dan menyelamat tersebut.

Media asing pula seolah-olah menambah rencah episod hitam ini apabila kerap mengeluarkan teori atau fakta yang mengelirukan berkaitan kehilangan MH370.

Sehubungan itu, sidang media yang diadakan setiap hari sejak Sabtu lalu seolah-olah menjadi medan penafian buat negara ini.

Jika diperhatikan dari hari pertama insiden ini hingga ke hari ini, tekanan jelas kelihatan pada wajah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya namun beliau tetap tenang menjawab segala persoalan media.

Kadang-kadang penulis terfikir, apa yang bermain di fikiran beliau?

Pada sidang media ini, jawapan yang dinantikan oleh para media untuk disampaikan kepada umum sudah tentunya, 'MH370 sudah ditemui' tetapi bukan itu yang didengar setakat ini.

Hampa namun kami percaya pihak terbabit sudah melakukan sehabis baik untuk mengesan lokasi MH370.

Ke mana perginya MH370 ini?

Nampaknya, gabungan teknologi dan tenaga dari 12 negara pun masih belum mampu memberi jawapan kepada teka-teki ini.

Pelbagai teori, jangkaan mahupun kemungkinan bermain di fikiran namun jawapannya masih rahsia ALLAH.

Marilah kita sama-sama berdoa agar jawapan yang bakal kita temui itu yang terbaik dan semoga semua pihak yang terbabit reda dengan ketentuan-Nya.


0 comment... add one now