Malaysia Tewaskan Singapura 3-1 Hasil Rombakan Dollah

Kemenangan itu, dengan dua gol pada minit-minit terakhir masa tambahan, membantu Harimau Malaya muncul naib juara Kumpulan B berbekal empat dan akan mengiringi Thailand yang muncul juara kumpulan.

Gol Malaysia adalah sumbangan Safee Sali pada minit ke-61, Safiq Rahim (penalti, m-91) dan Indra Putra Mahayuddin (m-95) manakala gol tunggal tuan rumah menerusi sumbangan Khairul Amri Kamal (m-83).

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Malaysia gah layak ke separuh akhir, Piala AFF Suzuki selepas menewaskan juara bertahan, Singapura 3-1 di Stadium Nasional, malam ini.

Dalam perlawanan lain, Thailand muncul juara kumpulan dengan kemenangan ketiga berturut-turut menewaskan Myanmar 2-0.

Dalam separuh akhir pertama nanti, Malaysia akan menentang juara Kumpulan A, Vietnam pada 7 Disember manakala Thailand menentang naib juara Kumpulan B, Filipina pada 6 Disember.

Malaysia berpeluang membuka tirai jaringan pada minit ke-42, namun rembatan susulan daripada Safee Sali terkena tiang kanan pintu gol lawan dengan penjaga gol tuan rumah, Hassan Abdullah Sunny langsung tertewas.

Selepas rehat, skuad negara kembali menggandakan asakan memburu jaringan dan keringat mereka berbalas apabila Safee menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-61 menerusi satu rembatan padu.

Jaringan itu mencetus ceria buat hampir 1,000 penyokong Harimau Malaya.


KETUA jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh bersama pemain meraikan kemenangan selepas menumpaskan Singapura 3-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Singapura malam ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Tersentak, Singapura kembali mengemaskan permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi penyerang, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal yang menolak masuk bola ke gawang Malaysia selepas berlaku kekalutan di depan pintu gol.

Anak didik Dollah Salleh enggan mengalah dan berjaya mendahului pada minit ke-91 hasil sepakan penalti perancang tengah, Safiq Rahim selepas pemain negara, Mohd Amri Yahyah dijatuhkan pertahanan Singapura dalam kotak penalti.

Pemain gantian, Indra Putra Mahayuddin memastikan tiket separuh akhir menjadi milik Malaysia dengan gol ketiga selang tiga minit kemudian.

Thailand pula mengesahkan kemenangan 2-0 ke atas Myanmar hasil Tanaboon Kesarat pada minit ke-12 dan Prakit Deeporm, minit ke-83.

MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Mohd Muslim Ahmad, Mahalli Jasuli, Muhammad Shukor Adan (kapten), Safiq Rahim, Azamuddin Mohd Akil, Mohd Amri Yahyah, Gary Steven Robbat (Mohd Hafiz Kamal), Norshahrul Idlan Talaha (Abdul Manaf Mamat), Mohd Safee Mohd Sali (Indra Putra Mahayuddin)

SINGAPURA: Hassan Abdullah Sunny, Muhammad Shakir Hamzah, Muhammad Safuwan Baharudin, Ismadi Muhamad Mukhtar, Hariss Harun, Mohamad Shaiful Esah Nain (Muhammad Hafiz Abu Sujad), Muhammad Shahfiq Ghani (Muhammad Amirul Adli Azmi), Muhammad Faris Ramli, Mohammad Shahril Ishak (kapten), Fazrul Nawaz Shahul Hameed (Gabriel Quak Jun Yi), Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal.

PENGADIL: Al Kaf Ahmed Abu Bakar Said (Oman)
-bharian

0 comment... add one now