Farhan Kutuk Karisma Kapoor Yang Sombong

Artis tempatan, Farhan Azizan turut diundang ke acara yang bertemakan Bollywood itu. Malah acara berkenaan turut dihadiri golongan kerabat dan orang kenamaan (VIP) yang semestinya antara penyokong jenama barang kemas terbabit.


KUALA LUMPUR: Satu acara membabitkan jenama barang kemas di pusat membeli-belah Starhill Gallery, Bukit Bintang diadakan, malam tadi.
Malah beberapa orang artis Bollywood turut diundang memeriahkan acara berkenaan termasuk Karisma Kapoor.

Farhan sendiri berpeluang memilih barang kemas di sisi Karisma. Selain sempat mengabadikan gambar berdua, mereka sempat bersembang sekitar setengah jam kerana kesuntukan masa.

Karisma yang sebelum ini dilihat berbadan tembam sudah kembali ramping sehingga Farhan sendiri tidak menyedari kelibatnya. Kata Farhan, Karisma terlalu kurus daripada penampilannya beberapa tahun dulu.

Cuma di sebalik keseronokan bersua bintang Bollywood yang pernah digilai penggemar filem Hindi suatu ketika dulu di negara kita, Farhan berani menempelak kakak kepada Kareena Kapoor itu cukup berlagak dan sombong. Ia bukan perkara pelik pun.

"Adatlah kalau bintang luar diagung-agungkan di negara kita. Sedangkan mereka seperti memijak kepala kita saja. Tapi dia masih mampu tersenyum di depan tetamu dan melayan permintaan untuk bergambar.

"Cuma satu yang saya perhatikan dia memang tak bersalam dengan orang di acara itu. Benar kalau dia dianggap Tuhan di negaranya sendiri tetapi di negara kita dia tidak dianggap sebegitu. Dia datang ke sini pun semestinya dibayar.

" Pada satu tahap saya tengok dia sendiri menolak untuk bergambar dengan tetamu. Malah hingga bercakap atau menyahut percakapan orang pun seperti tak kuasa lagaknya. Negara kita murah dengan adab dan senyuman, jangan fikir kita nak puja dia seperti di negaranya," katanya yang dihubungi BH Online sebentar tadi.
Ketika dihubungi Farhan sedang berada di rumah dan mahu bergegar ke luar untuk melangsaikan urusan kerja seninya.

Farhan kini sudah sebulan bergelar isteri kepada Ahmad Rashadan Suhaimi. "Saya masih belum berisi lagi. Kami pun masing-masing sibuk dengan agenda kerja. Tambah pula nak dekat hujung tahun dan Alhamdulillah rezeki terus murah. Suami pun perlu kerja luar kawasan hingga kami belum sempat berbulan madu.

"Dek kesibukan itu kami bercadang untuk berbulan madu tahun depan saja. Kami akan ke Kepulauan Maldives," kata bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat.

0 comment... add one now