Jika anda seorang gadis, p#yudara mula timbul dan anda mengalami datang haid pertama. Bagi lelaki pula suara pecah atau garau, mimpi basah dan alat kel#min semakin membesar.
Kes#eksualan merupakan satu fitrah semula jadi manusia. Ia boleh memberikan kesan terhadap perasaan, tindak tanduk dan cara anda memandang dunia. Memahami perubahan-perubahan ini dapat membantu anda melaluinya dengan lebih mudah.
Bagi ibu bapa yang berasa malu dan tidak tahu bagaimana mahu membuka mulut bagi membincangkan isu ini dengan anak-anak mereka yang meniti alam keremajaan, artikel ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan kefahaman anda.
Atau, hulurkan sahaja naskhah ini untuk mereka baca sendiri. Rasa-rasanya, tiada masa yang lebih sesuai daripada musim cuti sekolah sebegini di mana anda menghabiskan banyak masa dengan mereka di rumah.
Memandangkan Dr. Shah Reza merupakan seorang pakar yang mengendalikan kes-kes berkaitan kaum wanita yang berada di dalam bidangnya, artikel ini ditujukan khas kepada anak-anak perempuan yang berada dalam julat umur 10 hingga 15 tahun.
RAMAI gadis belasan tahun terutamanya mereka yang berada di tahun-tahun terakhir sekolah rendah dan juga pada tahun-tahun terawal sekolah menengah mengalami perubahan pada diri mereka sama ada dari segi fizikal dan juga emosi.
Banyak persoalan yang timbul tetapi tidak banyak jawapan yang diperoleh. Tidak ada subjek rasmi di sekolah yang memberi pengenalan pada mereka ini.
Malahan ibu bapa pula tidak berbincang secara langsung dengan anak perempuan mereka, mungkin kerana pengaruh kawalan tradisional amalan dan pegangan selama ini.
Kemungkinan besar juga, ibu bapa sendiri tidak tahu-menahu akan perubahan ini dan menganggapnya tidak lebih sekadar satu rutin yang tidak mempunyai persoalan.
Badan anda berubah semasa proses kematangan umur iaitu ke arah akil baligh. Perubahan ini terjadi di dalam badan dan juga di luar badan. Perubahannya mungkin ketara. Perlu diingatkan bahawa perubahan ini tidak datang kesemuanya sekali gus. Ia juga berbeza di antara anda dengan kawan-kawan.
Kelainan ini mungkin datang seawal umur 8 tahun dan juga ada yang masih tidak berubah walaupun pada umur 14. Sekalipun dari segi luaran perubahan tidak begitu ketara, tetapi perubahan dalaman sedang berlaku.
Artikel ini akan membincangkan bagaimana badan anda berubah, mengapa perubahan ini berlaku dan bilakah kitaran haid boleh dijangkakan.
Perubahan terhadap badan anda semasa tumbesaran akil baligh
Dengan peningkatan umur, sebahagian dari otak anda mengeluarkan isyarat kelenjar s#ks iaitu ovari, supaya berfungsi dan mengeluarkan hormon-hormon wanita.
Hormon-hormon ini akan merangsang bahagian-bahagian badan tertentu untuk tumbesaran lanjutan. Rangsangan dari hormon-hormon ini menyebabkan badan anda mengalami perubahan-perubahan seperti
* P#yudara membesar
* Ketinggian serta berat badan bertambah
* Punggung melebar serta membesar
* Tumbuhnya rambut di ketiak dan juga kawasan organ jantina luaran
* Perubahan bau badan
* Kehadiran jerawat serta perubahan pada kulit.
Jangan terkejut sekiranya perubahan pertama yang anda sedari adalah pada bahagian p#yudara anda. Kawasan di sekitar puting p#yudara yang dipanggil areola membengkak dan timbul.
Jisim p#yudara juga lebih menegang, membulat dan rasa lebih kemas. Kadangkala perubahan ini lebih ketara pada satu p#yudara sahaja dan bukannya kedua-dua secara serentak.
Mungkin juga anda merasakan tidak selesa dan kemungkinan juga sakit. Jangan takut, ini adalah sesuatu yang normal.
Sebenarnya, hormon-hormon wanita yang dikeluarkan ini mengubah struktur dalaman serta luaran badan ke arah kesinambungan genetik iaitu persenyawaan dan seterusnya mengandung.
Ovulasi bermaksud telur dikeluarkan dari ovari setiap bulan, telur ini akan melalui tiub fallopio dan langsung ke dalam rahim.
Disebabkan tidak adanya persenyawaan berlaku, lapisan dalam rahim (endometrium) yang menebal akibat rangsangan hormon akan gugur dan dikenali sebagai darah haid.
Kitaran haid anda
Sukar untuk tahu secara tepat bila haid pertama anda akan datang. Ada yang datang semasa di sekolah rendah dan ada pula di sekolah menengah.
Purata haid pertama berlaku pada umur 12 tahun. Kitaran pertama lazimnya tidak banyak, hadir selama tiga hingga tujuh hari dan akan berlangsung sekali setiap bulan.
Jangan cemas sekiranya haid anda tidak teratur terutamanya untuk dua tahun pertama. Mungkin juga haid anda untuk tempoh berikut bukan bercorak bulanan, contohnya sekali setiap dua bulan. Badan mengambil masa supaya keteraturan kitaran haid berlaku.
Berjumpalah dengan doktor sekiranya selepas dua tahun bermulanya haid, kitaran masih tidak teratur atau bila-bila masa sekiranya kehadiran haid menyakitkan.
Persediaan diri
Bagus sekali sekiranya anda mempunyai kalendar atau diari tentang bila dan juga apa-apa mengenai haid, satu pengalaman baru meningkat dewasa dan kematangan.
Hari-hari haid datang ditandakan, begitu juga hari-hari di mana haid tidak berlangsung. Ini akan memberikan gambaran terhadap julat hari terakhir dan hari pertama berikutnya.
Mungkin kehadiran haid anda setiap 28 hari, ada juga mereka yang datang bulan di antara 21 hingga 45 hari untuk beberapa bulan pertama. Ini membuat anda lebih yakin serta bersedia akan kedatangannya.
Bersedia dengan membawa tuala wanita di dalam beg sekolah. Penukaran tuala wanita digalakkan setiap empat jam terutamanya pada hari-hari pertama di mana jumlah darah mungkin banyak. Jika terlalu banyak, tuala mungkin terpaksa ditukar lebih kerap.
Ketidakselesaan
Kadangkala anda mungkin berasa kekejangan di bahagian abdomen bawah dan juga di bahagian belakang semasa datang haid terutamanya bila darah banyak keluar.
Mungkin juga pengalaman baru seperti sakit kepala, pening, loya-loya dan juga cirit- birit berlaku. Berjumpalah dengan doktor jika ini terjadi.
Bercakap dengan doktor
Anda ingin tahu bila sepatutnya doktor diberitahu akan masalah haid anda?
* Anda sudah pun berumur 15 tahun dan akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) kelak tetapi masih belum datang haid bulanan
* Haid anda sebelum ini bercorak bulanan serta teratur, tiba-tiba sekarang tidak lagi begitu
* Kitaran haid anda begitu cepat setiap 21 hari ataupun sangat lambat, setiap 45 hari
* Haid melebihi tujuh hari dengan jumlah darah pada tuala wanita sama seperti hari-hari awalnya
* Tidak datang haid sehingga 90 hari
* Jumlah pendarahan yang banyak sehingga ketulan darah keluar dan memerlukan penukaran tuala wanita dengan kerap, mungkin setiap 1 hingga 2 jam.
Keterampilan dan kesihatan
Perubahan hormon serta fizikal badan anda menyebabkan ketidakselesaan akibat dari penyesuaian baru.
Jagalah kesihatan melalui pemakanan serta aktiviti-aktiviti sosial dan fizikal supaya badan menjadi lebih anjal dan sihat.
Badan anda memerlukan pemakanan seimbang untuk tumbesaran, banyakkan makanan berkhasiat, kurangkan memakan makanan segera kerana ia mempunyai banyak gula dan karbohidrat.
Banyakkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan serta susu. Susu mengandungi kalsium dan keperluan anda semasa membesar minimum 1,200mg sehari, pembentukan tulang yang gagah perlu untuk menghindari kerapuhan tulang di kemudian hari nanti.
Untuk mengekalkan bentuk badan yang cergas dan sihat serta berat badan yang sesuai dengan ketinggian serta umur, banyakkan senaman serta aktiviti yang aktif.
Senaman juga boleh mengurangkan ketegangan mental serta kekejangan semasa kehadiran haid selain menguatkan otot-otot, tulang dan membuat anda lebih ceria dan bertenaga.
Bagaimana pula dengan jerawat?
Jerawat terhasil akibat dari proses kedewasaan di mana sebum iaitu bahan berminyak yang dirembeskan oleh kelenjar sebum dihasilkan secara berlebihan, lambat-laun menyekat aliran keluar dari lubang-lubang halus di kulit.
Sebum ini merupakan minyak semula jadi kulit. Adalah penting bagi anda membersih muka dengan air bersih beberapa kali sehari supaya cecair atau bendalir sebum di muka dibersihkan. Ini akan mengurangkan kehadiran jerawat dan ruam-ruam di muka anda.
Akhir kata, akil baligh adalah satu titik perubahan pada diri anda. Janganlah berasa takut dan malu kerana ia merupakan sesuatu yang normal di mana semua wanita melaluinya dengan pengalaman yang berbeza.
Tidak perlu membanding-bandingkan perubahan ini dengan kawan-kawan kerana anda mungkin akan berasa kecewa apabila hasilnya tidak sama dengan mereka.
Saya sarankan juga agar anda memperbanyakkan bahan-bahan bacaan berkaitan, yang menceritakan tentang perubahan biologi alam kedewasaan anda yang boleh membantu. Ia pasti menjadi satu pengalaman manis dan menyeronokkan.