Kenali Alergi Alahan Makanan Dan Cara Merawat

Ibu bapa diminta peka dengan pemakanan anak-anak yang alergi.Alahan dalam pemakanan boleh membawa kesan buruk pada kesihatan kanak-kanak.


Apakah itu alahan pemakanan?
Kesan tindak balas yang memudaratkan daripada sistem imunisasi badan terhadap beberapa jenis makanan yang dianggap berbahaya kepada badan.
Berapa kerap ia berlaku?
Adalah dianggarkan, 2% kanak-kanak mengalami alahan makanan (lebih tinggi dikalangan kanak-kanak yang lebih muda iaitu sebanyak 5-8%). Kebanyakan kanak-kanak akan hilang alahan makanan apabila mereka meningkat dewasa. Walau bagaimanapun, sesetengah alahan seperti alahan kepada kacang tanah dan kerang-kerangan mungkin akan berlanjutan sepanjang hayat. Dikalangan orang dewasa, kejadian alahan makanan berkurangan kepada anggaran 1% daripada populasi keseluruhan.
Apakah jenis makanan yang biasanya menyebabkan alahan?
Antara makanan yang biasanya menyebabkan alahan adalah:
  • Susu lembu.
  • Telur.
  • Kacang soya.
  • Gandum.
  • Kacang tanah, tree nuts (walnut, kacang hazel).
  • Makanan laut, kerang-kerangan (contoh : udang, ketam, kepah).
  • Beberapa bahan pewarna dan bahan perasa.
Bilakan seseorang itu disyaki mengalami alahan makanan?
Gejala alahan biasanya berlaku dengan cepat dalam tempoh beberapa minit hingga kurang dari 2 jam selepas makan. Kadang-kala tanda-tanda alahan terjadi selepas beberapa jam makanan di makan.
Tanda dan gejala alahan makanan termasuklah:
  • 'Angioedema' (kebengkakan muka, bibir, lidah, di sekitar mata).
  • Kesukaran bernafas dan berdehit.
  • Ruam kulit yang gatal termasuklah tompok-tompok merah (urticaria).
  • Rasa loya, muntah dan cirit-birit.
  • Perut yang sakit dan memulas.
  • 'Colic' (sakit perut) dikalangan bayi.
  • Anafilaksis iaitu reaksi teruk yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, kebengkakan dalam mulut dan kerongkong, tekanan darah rendah, kejutan (shock) malah boleh mendatangkan kematian. Gejala ini biasanya berlaku dengan cepat dalam jangka masa beberapa minit hingga beberapa jam selepas pengambilan makanan.
Gejala yang sama boleh berlaku dalam intoleransi terhadap makanan (food intolerance)dan penyakit-penyakit lain. Maka pemeriksaan doktor perlu dilakukan untuk membuat diagnosa yang tepat.
Apakah kesannya?
  • Gejala dan sakit mungkin di tahap sederhana tetapi kadang-kala gejala serius seperti anafilaksis boleh berlaku iaitu saluran pernafasan tersekat dan sistem jantung tidak berfungsi. Ini boleh membawa  maut.
  • Pengelakkan beberapa jenis makanan boleh menyebabkan kekurangan zat makanan tertentu sekiranya makanan tambahan tidak diambil, contohnya kekurangan kalsium boleh berlaku jika semua produk susu dikeluarkan daripada pemakanan kanak-kanak yang alah kepada susu lembu.
  • Tumbesaran terbantut dan ia boleh berlaku sekiranya banyak kumpulan makanan dihadkan.
Bagaimana alahan makanan dikenal pasti?
Adalah terbaik berjumpa doktor untuk mengenal pasti alahan makanan. Jangan sesekali  membuat ujian sendiri untuk mengetahui sama ada sesuatu makanan boleh mencetuskan alahan. Sesetengah ujian darah untuk mengesan tahap antibodi (IgE) atau 'ujian suntikan kulit' (skin prick test) boleh dilakukan oleh doktor untuk membantu mengenal pasti alahan tertentu.
Adakah sebarang rawatan untuk merawat alahan makanan?
Ada. Antara langkah-langkah yang berkesan adalah:
  • Dalam kes yang telah dikenal pasti, elakkan makanan yang menyebabkan alahan. Dapatkan nasihat Pegawai Dietitik  jika perlu untuk mengelakkan kekurangan zat makanan.
  • Memberi rawatan untuk tindak balas yang teruk daripada pendedahan secara tidak sengaja kepada mangsa, termasuklah:
    • Menyuntik diri sendiri dengan adrenalin/epinephrin menggunakan jarum atau pen khusus yang disediakan.
    • Dapatkan rawatan perubatan kecemasan dengan segera.
    • Kebiasaannya ubat-ubatan seperti antihistamin, 'bronchodilator' (ubat membuka saluran pernafasan) dan steroid, alatan pembuka saluran pernafasan (insertion of airway) juga  cecair intravena diperlukan dalam rawatan alahan.
  • Memberi makanan yang menyebabkan alahan dalam kuantiti yang amat sedikit dengan beransur-ansur (desensitising) pernah digunakan tetapi ianya bukanlah rawatan piawaian yang diluluskan.
Apakah strategi pencegahan?
Penyusuan susu ibu akan mengurangkan risiko alahan makanan. Oleh itu, penyusuan susu ibu sepenuhnya perlu dilakukan sekurang-kurangnya sehingga bayi berusia 6 bulan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai sejarah positif alahan makanan dalam keluarga.
Peringatan
  • Berhati-hati dengan bahan-bahan yang tersembunyi dalam produk makanan yang mungkin tidak dinyatakan pada label makanan.
  • Tindak balas silang terhadap makanan boleh berlaku seperti alahan terhadap udang, udang karang dan ketam.
  • Beri peringatan kepada kanak-kanak yang bersekolah mengenai masalah alahan mereka dan pihak sekolah perlu dimaklumkan. Perancangan khusus perlu disediakan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Alahan (dalam bahasa Inggerisnya = allergy) bermaksud 'perubahan aktiviti'. Ia juga dikenali sebagai tindak balas hipersensitif dan berlaku apabila sistem pertahanan badan bertindak balas terhadap bahan asing yang memasuki badan melalui kulit, paru-paru, tertelan atau tercucuk. Reaksi ini sebenarnya tidak perlu berlaku. Ia lebih kerap terjadi kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap alahan.

Reaksi alahan boleh jadi ringan atau serius dan berlaku dalam sekelip mata atau beberapa minit selepas terdedah kepada alergen, tetapi sebahagiannya boleh berlaku selepas beberapa hari atau beberapa minggu. Anafilaksis merupakan tindakbalas alahan yang sangat teruk dan boleh berlaku secara tiba-tiba dalam masa beberapa minit selepas terdedah kepada alergen. Ia membawa kepada kejutan anafilaksis dan boleh menyebabkan kematian dalam masa 15 minit jika tidak mendapat rawatan perubatan.

Istilah 'allergy' telah dicipta oleh pakar kanak-kanak Vienna, Clemens von Pirquet dalam 1906 selepas membuat nota bahawa sesetengah pesakit-pesakitnya adalah hipersensitif untuk entiti-entiti yang biasanya tidak berbahaya seperti debu, debunga, atau makanan tertentu. Pirquet menamakan fenomena ini sebagai 'allergy', daripada kata-kata Yunani allos bermaksud "lain" dan ergon bermaksud "kerja".

Sejarah

Dari segi sejarah, semua bentuk hipersensitif (hypersensitivity) adalah diklasifikasikan sebagai alahan-alahan, dan segala pemikiran yang disebabkan oleh satu pengaktifan yang tidak wajar kelas antibodi yang bernama Immunoglobulin E (IgE) - Teruka dan Kimishige Ishizaka merupakan antara yang pertama untuk mengasingkan dan menghuraikan IgE dalam tahun 1960an.
Kemudian, ia menjadi jelas bahawa beberapa mekanisma penyakit lain telah dilibatkan, dengan hubungan biasa antara hypersensitivities berbeza-beza ini ada satu pengaktifan yang mengganggu sistem imun dalam satu cara atau selainnya. Suatu skima klasifikasi yang baru telah direka oleh P Gell dan R Coombs bagi mencerminkan apa yang kemudian diberi nama semula reaksi kehipersensitifan (hypersensitivities). Perkataan "alahan" adalah kemudian terhad untuk jenis I hypersensitivities, yang adalah disebabkan oleh mekanisme IgE yang klasik.

Penyebab

  • Tumbuh-tumbuhan.
  • Makanan.
  • Ubat-ubatan.
  • Debunga.
  • Sengatan lebah.
  • Gigitan.
Alahan Rhinitis (Alahan pernafasan)

Ia merupakan gejala yang berlaku selepas terdedah kepada debunga tumbuhan bermusim yang berterbangan di udara. Demam alahan melibatkan reaksi alahan terhadap debunga seperti kulat kulapuk, bulu binatang dan habuk. Debunga yang dibawa oleh angin adalah kecil dan lebih kerap menyebabkan demam alahan. Cuaca yang sangat panas, kering dan berangin meningkatkan jumlah debunga di udara.

Tanda-tanda dan gejala

  • Penghasilan mukus (lendir).
  • Gatal-gatal di
    • Tekak
    • Hidung
    • Mulut
    • Mata
    • Kulit
  • Batuk.
  • Sakit kepala.
  • Hidung berair/Bersin.
  • Asma/bunyi ronkus (pernafasan berbunyi).
Rawatan
  • Pencegahan merupakan rawatan yang terbaik.
  • Mengambil antihistamin untuk melegakan gejala yang ringan ke sederhana.
  • Dekongestan juga dapat menolong meredakan gejala seperti penyumbatan rongga hidung.
Pengurusan sendiri

Di bawah disenaraikan beberapa cara untuk mengurangkan pendedahan kepada debunga dan kulapuk:

  • Tutup tingkap pada waktu malam untuk menghalang debunga atau kulapuk daripada masuk ke dalam rumah. Jika boleh gunakan penyaman udara yang dapat membersih, menyejuk dan mengeringkan udara.
  • Pakai topeng/pelindung debu semasa memesin rumput, memungut daun-daun atau semasa membersihkan halaman dan makan ubat-ubatan tertentu sebelum melakukan aktiviti tersebut.
  • Jangan mengambil ubat melebihi dos dengan tujuan untuk mengurangkan gejala yang berlaku.
  • Jangan terlalu menyiram tumbuh-tumbuhan di dalam rumah jika anda alah terhadap kulapuk. Tanah yang lembap menggalakkan tumbesaran kulapuk.
  • Tutup tingkap kereta semasa dalam perjalanan.
  • Bercuti di kawasan yang bebas debunga seperti di tepi pantai atau laut.

Alahan terhadap makanan

Keadaan di mana gejala akan berlaku disebabkan reaksi imun dan dicetuskan oleh sesetengah jenis makanan. Alahan terhadap makanan boleh ditunjukkan dengan keadaan seperti:

  • Intolerans terhadap makanan.
  • Sindrom gangguan usus.
  • Tekanan fizikal.
  • Keracunan makanan.
Apabila alahan telah terjadi, anda harus mengelakkan makanan yang menyebabkan alahan tersebut untuk mencegah ia dari melarat.

Gejala

  • Tekak terasa gatal.
  • Anafilaksis (boleh menyebabkan kematian).
  • Sakit perut.
  • Loya.
  • Muntah.
  • Kekejangan otot perut.
  • Gatal-gatal di dalam mulut, tekak, mata dan kulit.
  • Gatal-gatal/urtikaria.
  • Angioedema pada kelopak mata dan bibir.
  • Penyumbatan rongga hidung/ hidung berair.
  • Sesak nafas/bunyi ronkus.
Rawatan

Matlamat utama rawatan adalah untuk mengurangkan gejala dan mengelakkan reaksi alahan dari berulang lagi. Gejala yang ringan tidak memerlukan sebarang rawatan. Ia akan surut dalam masa yang singkat. Krim penyaman kulit boleh diguna untuk melegakan ruam. Gejala yang teruk memerlukan rawatan dengan mengguna kortikosteroids.

Pengurusan sendiri

  • Elakkan memakan makanan yang mendatangkan alahan kepada anda.
  • Bertanya atau pastikan terlebih dahulu kandungan/ramuan makanan untuk menjauhi bahan alergen yang tersembunyi di dalam makanan.
  • Membaca label makanan dan mengenali istilah saintifik dan teknikal mengenai makanan. (susu dikenali sebagai kasein, protein susu dan lain-lain).
  • Bersedia untuk rawatan kecemasan. Reaksi anafilaksis disebabkan alahan terhadap makanan berpotensi menyebabkan kematian.
  • Memakai gelang amaran perubatan yang menerangkan tentang alahan yang dihidapi.
Alahan terhadap ubat-ubatan

Alahan terhadap ubat-ubatan adalah disebabkan sistem imun yang hipersensitif. Badan menjadi sensitif apabila kali pertama terdedah kepada ubat. Pendedahan kali kedua atau seterusnya akan mencetuskan tindak balas imun. Reaksi alahan boleh dibahagikan dari kesan sampingan yang merengsakan atau ringan (ruam kulit, gatal-gatal, loya) kepada kesan yang boleh membawa kepada kematian seperti kejutan anafilaksis.

Penisilin dan antibiotik yang berkaitan adalah penyebab yang lazim di dalam kes alahan ini. Cara yang terbaik untuk mengelakkan alahan ialah mengelakkan dari mengguna ubat-ubatan ini.

Gejala

  • Gatal-gatal.
  • Ruam kulit.
  • Gatal-gatal pada kulit atau mata.
  • Bunyi ronkus.
  • Bibir membengkak.
  • Gejala-gejala anafilaksis termasuklah:
    • Penyumbatan rongga hidung.
    • Sukar bernafas.
    • Batuk.
    • Kulit menjadi kebiru-biruan, termasuklah bibir atau kuku.
    • Pening.
    • Keliru.
    • Sakit/kekejangan otot abdomen.
    • Loya, muntah.
    • Cirit-birit.
Rawatan

Matlamat utama rawatan adalah untuk melegakan gejala. Penggunaan antihistamin ialah untuk melegakan gejala yang biasa (ruam, urtikaria, gatal-gatal). Kortikosteroids oral atau topikal (disapu di kawasan setempat di kulit) mungkin disyorkan juga.

Alahan Konjunktivitis

Alahan konjunktivitis yang bukan berjangkit merupakan reaksi terhadap bahan seperti debunga. Mata akan menjadi kemerahan dengan cepat diikuti dengan gatal-gatal dan keluar air mata.

Gejala

  • Mata merah.
  • Salur darah yang mengembang (menjadi besar) dalam sklera.
  • Gatal-gatal yang sangat teruk-mata rasa terbakar.
  • Keluar air mata.
  • Kelopak mata bengkak/sembab.
Rawatan

Rawatan yang terbaik adalah mengelakkan pendedahan terhadap bahan alergen. Menuam dengan penuam sejuk di mata atau mengambil antihistamin dapat melegakan ketidakselesaan yang dirasai.

Pengurusan sendiri

  • Duduk di dalam rumah apabila bilangan debunga atau kelembapan dilaporkan lebih tinggi dari biasa atau ketika hari berangin.
  • Ambil ubat yang dicadangkan oleh pakar alahan mengikut dos yang disarankan.
  • Pastikan tingkap cermin ditutup ketika dalam perjalanan.
  • Elakkan dari menyentuh mata dengan tangan anda.
  • Hentikan penggunaan kosmetik untuk mata dan gantikan/nyahjangkit kanta lekap anda.
  • Tuam mata dengan penuam sejuk untuk melegakannya.
*********************
Berdasarkan pengalaman sendiri, saya juga antara insan yang kerap mengalami alahan sedari kecil. Asma atau lelah kerap terjadi pada saya dan ia memang dari keturunan. Namun alhamdulillah, Abah dulu pernah bawa balik sedikit susu lebah dan Ummi suapkan ke mulut kami empat beradik ketika itu. Semua dapat sorang sikit. Sejak tu kata Ummi, asma saya terus hilang.

Namun, saya tetap menjadi kerisauan Ummi & Abah. Kerap pula demam & gatal-gatal. Sehingga kini ia tetap ada (mengikut masa & keadaan). Dan saya juga semakin memahami diri. Tapi semua itu berlaku setelah alahan terjadi. Biasalah, adakalanya kita tidak tahu apa yang tidak sesuai dengan tubuh badan walaupun makanan dan persekitaran. Kena dimanjakan selalu..

Dulu pernah terjadi, saya cuma kemas bahagian luar rumah dan terdapat semut besar (yang pasti bukan lebah atau seangkatan dengannya). Semut tu terkena baju dan saya kuis sedikit. Tak bunuh pun. Lepas tu, terus bengkak-bengkak. Terkejut saya. Satu hari tanggung bengkak yang agak gatal tu. Then ia terus hilang.

Minggu lepas pun sama juga. Setahu saya, saya tiada alahan makanan melainkan saya tidak boleh minum susu dan makan buah oren. Dua benda ni akan menyebabkan perut saya memulas dan serangan migrain. Tapi yang saya tahu, saya makan seafood. Sejak tu, asyik gatal je. Tak tahu punca apa. Bila malam, garu-garu dah jadi amalan...huhuhu..

Begitu juga mata. Baru saya tahu, mata saya sangat sensitif dengan segala jenis habuk. Sebelum ni pernah terjadi. Terdapat bintil atau ketumbit di mata. Walhal, sejak kecil tiada masalah ini. Sampai saya terpaksa dibedah disebabkan bintil tu tak surut-surut. Namun, ada juga hal lain yang baru saya ketahui. Darah saya agak lambat membeku. Huhuhuhu... Mujur saya belum pernah cedera parah atau kehilangan darah yang banyak. Nanti jenuh nak cari bantuan.. Tapi insyaAllah, saya tahu ada yang sudi membantu. Darah O please...

Sebut pasal mata, ketika mengemas, habuk tak masuk pun dan saya pun tak sentuh mata. Tapi bila bangun je tidur, wah! Mata ku bertukar.. Sakitnya hanya Allah yang tahu.. So, saya mengalami dua alahan sekarang ini.. Sampai Andak baru ni cakap "Kak, nape bila Andak balik, Andak tengok akak sakit je.."

Inilah ujian atau kafarah. Mujur Allah sayangkan saya demi  menyedarkan saya ketika saya masih muda. Nauzubillah bila ujian & teguran Allah terjadi ketika kematian saya. Moga dijauhkan dalam keluarga saya. Apa yang kita buat ketika hidup, balasannya akan kita dapat ketika saat ajal menjemput. Masa tu semua tak berguna dah.. Amalan ketika hidup itulah penentunya..

"Ya Allah, moga ujian yang Engkau beri terselindung hikmah yang sangat bernilai. Ampunkan segala dosa-dosaku samaada kecil atau besar. Aku berharap dosaku ini dapat terhapus dengan ujian yang Engkau berikan kepadaku ini" Amin.

~ Bila ditimpa musibah samaada berbentuk kegembiraan atau kesedihan, Allah sangat mengharapkan hamba-Nya untuk dekat kepada-Nya. Ketika ini, segala doa akan didengari. Syukurlah pada insan yang mempunyai akal untuk berfikir.source

0 comment... add one now