Wasila Tasi didakwa meminta seorang budak lelaki berusia tujuh tahun untuk membeli racun berkenaan di kedai berhampiran, beberapa jam sebelum empat mangsa itu mati secara mengejut selepas makan makanan yang sama pada 5 April lalu.
NIGERIA – Seorang remaja berusia 14 tahun kini berdepan hukuman mati selepas dia didakwa membunuh suaminya yang berusia 35 tahun bersama tiga yang lain dengan memasukkan racun tikus dalam makanan, ketika majlis meraikan perkahwinannya diadakan.
Pihak pendakwaraya percaya Wasila berbuat demikian kerana menyesal berkahwin dengan seorang peladang, Umar Sani, yang mempunyai beberapa orang isteri.
Ketika dihadapkan di mahkamah, Wasila menangis secara diam dan mengaku tidak bersalah.
Jiran mangsa, Abdulrahim Ibrahim, mendakwa dia turut dihidangkan dengan makanan berkenaan namun dia tidak makan selepas mendapati terdapat serbuk berwarna hitam di dalamnya.
“Saya tidak selesa dengan baunya. Hanya Umar yang terus makan,’’ katanya ketika memberi keterangan di mahkamah.
Sementara bapa Wasila, Tasi berkata, dia cuba merayu kepada mahkamah agar anaknya itu tidak dikenakan hukuman mati.
Wasila kini ditahan di sekolah juvana.-mynewshub