Ini adalah kisah benar berdasarkan satu insiden yang betul-betul terjadi yang 12 tahun yang lalu.
Aku tidak menyangka deringan telefon dari mejaku, di pejabat, pagi itu ialah panggilan yang mengejutkan yang membuat aku merasa mukaku menjadi sejuk kaku. Apakah berita yang mengejutkan jika tidak berita kematian seseorang yang kita kenali. Ya, ia satu berita kematian. Berita yang akan membuat seseorang terkejut sebentar dan bagi yang perihatin dengan amalan agama akan lantas mengucapkan 'Innalillahi wainna ilaihi raji'un'.
Tetapi berita kematian pagi itu telah 'menakutkan' diriku. Sejenis ketakutan yang menusuk perasaan. Ketakutan yang mengugut diriku sendiri kerana ada satu insiden yang terlakar di sebalik berita kematian itu yang seolah-olah boleh menimpa diriku sendiri.
Baru dua hari sebelum itu, semasa menghadiri sebuah seminar, aku telah diperkanalkan oleh sahabatku dengan seorang teman sekerjanya. Di waktu meninggalkan dewan seminar, kami telah berpakat untuk singgah di cofee hause di premis itu bagi menikmati perbualan-perbualan ringan dan secawan kopi. Di hujung perbualan mesra dan kadangkala disulami gelak ketawa itu, teman sekerja sahabatku itu telah mengubah sedikit suasana ceria itu dengan menceritakan mimpi yang ditempuhinya malam sabelumnya.
Dia memberitahu, di dalam mimpinya dia dapati dirinya sedang berdiri dengan tidak stabil diatas satu tembuk yang tinggi dan tirus. Di sebelah tembuk itu terbentang luas satu lapangan yang luas serta terang benderang seolah-olah waktu tengah hari tetapi tidak pula panas terik bahkan begitu nyaman dan indah. Di sebelah satu lagi ialah lapangan yang gelap gelita, hitam pekat. Dia tidak tahu apa yang ada di dalam kegelapan yang pekat itu melainkan perasaan takut. Dalam keaadaannya yang cuba mengimbangkan badannya itu daripada jatuh, dia terasa tidak lagi dapat bertahan. Dia cuba merebahkan badannya ke arah kawasan lapangan yang terang benderang itu tetapi tubuhnya telah melayang jatuh di sebelah tembuk yang gelap gelita itu. Di saat itulah dia telah terjaga. Dia bertanya kepada kami sama ada kami tahu menafsirkan mimpinya itu. Aku menjawab, menafsir mimpi bukanlah kepakaranku. Sahabatku mengangguk kepala memberi isyarat dia juga adalah di dalam kategori yang sama.
Berita kematian yang aku terima pagi itu ialah berita kematian teman sekerja sahabatku itu. Sebaik sahaja berita itu mencecah gendang telingaku, sepantas kilat ia mengaitkan dengan kisah mimpinya tempuh hari di dalam kepalaku. Aku tergamam dengan mainan mindaku. Adakah itu salah satu fenomena yang Allah ciptakan kepada hambanya, yakni, amaran prakematian dirinya sendiri? Jikalau Allah Ta'ala membuka hati hambanya sudah tentu dia akan terus bertaubat di atas dosa-dosanya yang lalu. Sudah tentu 'cahaya' dan 'gelap' di dalam mimpi hamba Allah itu melambangkan suatu tempat yang 'tenang dan baik' dan satu lagi tempat 'penuh kengerian dan ketakutan'. Seolah-olah ia satu petunjuk destinasi ke alam barzakh. Mudah-mudahan Almarhum teman sekerja sahabatku itu telah dihidayahi Allah Ta'ala untuk bertaubat sebelum matinya.
Kita sedekahkan Al Fatihah kepada rohnya. Dengan kehendak Allah kejadian ini dapat saya nukilkan dan dapat memberi peringatan kepada kita supaya bertaubat sementara berkesempatan.