Walaupun Disaman Adnan Diserang Utusan Lagi Isu Tasik Chini Yang Musnah-Utusan Malaysia mendedahkan kegagalan kerajaan negeri Pahang memelihara Tasik Chini hingga terjejas akibat pembangunan dan penerokaan tidak terkawal, selepas diancam saman RM15 juta daripada Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.
Dalam laporan khas hari ini, Utusan melaporkan tasik tersebut berada dalam keadaan bahaya akibat aktiviti perlombongan, pembalakan dan perladangan yang berleluasa.
Memetik laporan dibuat Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak mengendahkan laporan mengenai keadaan tasik tersebut.
Pelbagai usaha dilakukan PPTC, termasuk bermesyuarat dengan exco kerajaan negeri, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan wakil istana bagi membincangkan masalah di Tasik Chini, kata laporan itu, seperti dipetik Utusan.
Bekas Ketua PPTC UKM, Datuk Dr Mushrifah Idris dipetik berkata dalam akhbar itu, tasik tersebut penting kerana diiktiraf sebagai rizab Biosfera oleh Unesco.
"Kita sekarang tidak banyak tasik asli. Yang ada hanya dua iaitu Tasik Bera yang dipilih sebagai kawasan tanah lembap berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar dan Tasik Chini yang diiktiraf sebagai rizab Biosfera oleh Unesco. Tak kan dua tasik ini pun kita tidak boleh jaganya dengan betul," katanya.
Tasik itu dikatakan mengalami hakisan, bukit sekeliling gondol, tumbuhan sekitar mati, air berkeladak dan ikan juga sukar dilihat di tasik tersebut.
"Tiada tindakan serius diambil terhadap cadangan dikemukakan pakar setakat ini," kata Utusan.
Sekurang-kurangnya 20 tahun diperlukan untuk memulihara tasik tersebut.
Utusan baru-baru ini berdepan tindakan saman RM15 juta daripada Adnan susulan artikel yang mengkritiknya dalam sebuah artikel bertajuk "Hebat Sangatkah Adnan?".
Pada 9 November lalu, Utusan Malaysia membidas Adnan apabila menghina akhbar itu kerana berang dengan laporan mengenai kebanjiran 30,000 warga asing, terutama warga Bangladesh di Cameron Highland.
Awang mempersoalkan kehebatan menteri besar tersebut dengan berkata Adnan sudah terlalu selesa berada di kedudukannya hingga tidak dapat menerima kritikan.
"Awang seperti tidak percaya ada pemimpin bertaraf menteri besar yang berfikir seperti itu. Inilah masalahnya kalau sudah lama sangat sandang jawatan dan terleka dalam zon selesa sehingga takut dengan bayang-bayang sendiri.
"Ulat pun disangka ular. Beliau sepatutnya belajar dengan menteri besar lain yang mengambil positif dan menjadikan laporan media sebagai peluang menangani sesuatu isu dengan lebih berkesan.
"Ada laporan lebih panas melibatkan negeri lain tetapi menteri besarnya tidak melatah," kata Awang Selamat mengkritik Adnan.
Adnan menuduh akhbar milik Umno tersebut berdendam dengan beliau.
"Utusan sudah lama berdendam dengan saya, tiada yang mustahil.
"Utusan ini musuh lama. Mereka menghukum saya sejak dulu, jadi saya hukum mereka balik. Semuanya berkaitan dendam lama," kata Adnan dipetik dalam Utusan hari ini mempertahankan tindakan saman beliau.