Di Indonesia ada ustaz yang boleh nikahkan lelaki dengan lelaki? Apa nak jadi? Dan di Malaysia ada ramai orang Islam yang terbeli dengan doktrinisasi agama-agama baru yang mirip Islam tetapi akhirnya untuk kantung sendiri juga akhirnya. Baca artikel ini untuk kenal susur galur Islam dan bagaimana ia dipesongkan dan kita rasa yang salah itu nampak macam betul.
Warga Prihatin
7 hrs · Edited ·
LELAKI SUDAH BOLEH BERNIKAH DENGAN TRANSGENDER?
Terima kasih kepada yang mengirim berita tentang isu ustaz yang menikahkan lelaki dengan transgender serta meminta kami mengulasnya.
Selama ini kita hanya merasa hairan bagaimana orang barat boleh tergamak mendaftarkan perkahwinan sesama jenis, tetapi kini ia sudah menular ke masyarakat kita. Dari berita yang disiarkan, rupanya sudah ramai pemimpin agama yang sebenarnya telah melakukan perkara yang sama di Indonesia. MasyaAllah
http://prihatin.net.my/v3/2014/1 ... dengan-transgender/
Pendirian kami tentang perkembangan yang menyedihkan ini secara tegas ialah ia jelas sesat lagi menyesatkan. Sekalipun ada yang suka mengatakan kita manusia tidak boleh menghukum, namun Alquran itu Allah turunkan sebagai pedoman untuk manusia berhukum dan menghukum. (QS:5/47-50).. 'Yaasin, walqur'anil HAKIIM'
Sang ustaz ini juga kononnya berhukum dengan memetik ayat quran, namun penjabaran ayat yang dipilih-pilih adalah amat mengelirukan. Ia didominasi nafsu peribadi untuk meraih populariti semata-mata.
Tergamak beliau mengatakan perkahwinan itu hanya menekankan kepada kebahagiaan hidup berpasangan secara umum, bukan hanya dikhususkan kepada pasangan lelaki dengan wanita sahaja. Alasan kononnya transgender juga berhak untuk berkeluarga, ingin juga ‘bertuhan’ dan ‘beragama’ dalam usaha menghalalkan tindakan 'pernikahan sejenis' ini juga amat keterlaluan.
Di mana harus kita letakkan rukun nikah yang mengkhususkan LELAKI & WANITA sebagai syarat sah nikah? Di mana harus kita letakkan perintah Allah agar dinikahkan LELAKI mukmin dengan WANITA mukmin, LELAKI musyrik dengan WANITA musyrik? Di mana harus diletakkan syarat LELAKI sebagai pemimpin WANITA? bagaimana pula dengan pengembangan umat Muhammad melalui kelahiran zuriat?
Inilah sikap kita manusia. Kita tidak habis-habis mencari jalan untuk memanipulasi petunjuk dan perintah Allah untuk kepentingan diri. Kita hanya pilih ayat-ayat yang kita suka sahaja, semata-mata untuk memenuhi selera kita. Walhal kita diperintahkan untuk berjihad dengan alQuran sepenuhnya (QS:25/52) dan mencari jalan mendekatkan diri kepada Allah dengan mematuhi segala perintahnya, secara kaffah tanpa banyak soal (QS:5/35, QS:2/208). Bukankah kita dilarang mengubah fitrah Allah?(QS:30/30)
SEJARAH PERJALANAN DAKWAH ISLAMIAH YANG BERULANG
Daripada Masjidil-Aqsa di Palastine, Islam dibawa dan dibangunkan di Mekah oleh nabi Ibrahim a.s.. Tetapi kegemilangan itu kembali berakhir. Ia tidur semula di Mekah setelah ketamadunan itu cukup lama tidak diaktifkan dengan sempurna, atau pada kata lainnya tertidur lena. Selepas itu ada yang tersedar, yang menyedari bahawa segala yang dahulunya sudah jelas dan nyata telah kembali menjadi samar dan lintang pukang semula.
Itulah contoh sirah Rasulullah SAW, apabila legasi yang telah ditegakkan oleh Nabi Ibrahim a.s. bersama isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail a.s. ini telah dilupakan, maka baginda yang tersedar telah berusaha mencari hidayah untuk memulihkannya kembali. Di mana Islam berhenti berjalan, di mana Islam tertidur, maka di situ jugalah tempatnya ia akan ‘bangkit semula’.
Masalahnya, apabila baginda tersedar, segala sistem kehidupan telah dikuasai oleh masyarakat yang telah kembali menjadi jahiliyah semula. Tiada ruang dan kekuatan untuk baginda mengubahnya 'di situ'. Oleh itu baginda mengumpul kekuatan untuk membangunnya di tempat lain, iaitu Madinah yang asalnya bernama Yathrib. Mekah telah ditinggalkannya seketika.
Setelah berjaya membangunkan agama itu dengan nyata, maka Islam kembali dinilai tinggi dan diyakini semula lalu mendapat sokongan ramai. Semangat ummat juga bertambah. Setelah mengharungi berbagai rintangan dan tentangan, baginda berjaya memasukkan semula sistem Islam yang dahulunya telah terpesong itu ke dalam bumi Mekah yang telah baginda tinggal buat sementara waktu itu.
Yang baiknya, Baginda tidak tamak untuk menduduki tahta pemerintahan Mekah, tetapi diserahkan kuasa itu semula kepada orang yang pernah memusuhi baginda iaitu Abu Sufian. Baginda kembali semula ke Madinah. Urusan baginda hanyalah untuk memastikan sistem Agama Allah ini diterima dan dihidupkan semula. Berbeza dari begitu banyak gerakan dakwah yang tujuannya ialah untuk menduduki tahta.
JATUH BANGUN AGAMA DI NUSANTARA
Sebenarnya kita sedang memerhati berulangnya sunnah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dahulu di Nusantara ini. Dari Timur Tengah, Islam berkembang ke Mediteranean, terus ke Benua Afrika, ke Goa, India, Acheh, Melaka dan berakhir di Demak, Indonesia. Adanya tempat bernama Tasik Malaya (Jawa), adanya kembar Negeri Sembilan di Sumatera, juga pepatah Melayu ‘Kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa kami dirikan’, ada kaitan sejarahnya dengan pemberhentian di Demak bagi perjalanan Dakwah Islamiah di rantau ini.
Di mana Islam tertidur dalam perjalanan dakwah itu, maka pastinya di situ jugalah tempat ia akan bangkit semula. Kerana itu kita banyak merujuk ke Indonesia sekarang. Namun akibat kurang mengkaji, kita sering tertipu dengan fenomena ‘sumber asli’ tentang agama ini setelah ianya menjadi nyanyuk (pikun) atau terlena (fenomena tidur dan gua / alkahfi).
Di zaman Rasulullah SAW dahulu juga begitu. Penduduk Mekah sukar untuk mempercayai dakwah baginda kerana masyarakat Mekah yang dahulunya telah di’Islamkan’ itu telah kembali jahiliyah. Mereka menyangka Islam yang telah rosak, yang diamalkan nenek moyang mereka itulah yang asli. Padahal semua itu adalah sesuatu yang telah nyanyuk (pikun) akibat ketuaan atau mamai kerana terlalu lama ketiduran dan mabuk kerana terlalu banyak 'menelan' minuman atau ilmu yang bercampur baur. Setidak-tidaknya pegangan agama jadi rosak kerana umat telah terlalu mabuk harta dan kuasa.
Kini kita sedang mengalami perkara yang sama. Kita sanggup menelan bulat-bulat apa sahaja doktrin agama yang didatangkan dari Indonesia. Alasannya hanya kerana semua nama-nama hebat seperti Wali Songo, Kiai palsu Haji Abdul Ghafur @ Snouck Hurgeronje (yang sebenarnya mubaligh Kristian), Kiai Haji Samanhudi, Kiai Haji Omar Said Cokro Aminoto, Sukarno, Semeon, Sekarmaji Marijan Kartosuwiriyo (SMK), Pak Hamka dan lain-lain telah dilihat mendominasi doktrin agama.
Kita lupa mengkaji sejarah perjalanan hidup dan susurgalur doktrin agama serta baik buruk peribadi kesemua tokoh ini satu persatu. Jauh lebih sedih lagi, kita sendiri hanya menjadi pak turut yang tidak mempergunakan akal sama sekali dalam menilai kebenaran. Kita ikut sahaja apa kata mereka tanpa usul periksa. Kita sebenarnya telah diperhamba dan diperbudak-budakkan dalam urusan agama oleh mereka. Inilah urusan paling sukar, "memerdekakan anak bangsa" (QS:90/10-13)
Sebenarnya sebelum dibunuh Sukarno, SMK sendiri pernah mewasiatkan bahawa doktrin agama yang hak ini telah tertidur dan akan bangun semula di sini (Indonesia). Namun ia tidak akan pernah boleh dibangunkan semula sepenuhnya di Indonesia, tetapi di tempat lain.
Ini kerana akan berlakunya pertembungan dengan terlalu banyak doktrin-doktrin yang telah dipalsukan oleh terlalu banyak pihak-pihak yang berkepentingan di Indonesia itu sendiri. Mereka semua berlumba-lumba mengambil peluang dari kejahilan manusia. Ramai yang tertipu lalu mempercayai perlaksanaan Islam yang hak itu ada di sana. Kerana itu ramai yang mudah percaya serta mengamalkan ajaran yang 'dijual oleh ulamak palsu’ Indonesia tanpa usul periksa. Padahal kebanyakan yang diajarkan adalah yang telah dirosak dan dipinda-pinda mengikut selera mereka.
KENALI DAHULU SITUASI AGAMA DI INDONESIA
Suka mahupun terpaksa kita harus terima hakikat bahawa sudah terlalu banyak dakyah agama yang telah disebar secara brutal di Indonesia, negara yang kononnya berpenduduk ‘Islam’ paling ramai itu. Pelbagai ajaran yang disahkan sesat telah terbit dari sana. Ia menular ke Malaysia dan negara-negara Nusantara lainnya.
Syiah yang menjadi kekeliruan agama Islam sedunia contohnya, juga boleh bertapak dengan mudah di sana. Sehari dua ini tersebar salinan sijil Nabi Baru, yang membawa mazhab baru oleh segolongan orang-orang 'alim' Indonesia. Sebelum itu heboh seorang ‘alim’ yang dengan bangganya mengistiharkan memilikki 10 orang isteri serentak dan entah apa-apa ajaran lagi.
Terlalu banyak ‘Gerakan Agama Baru’ dengan pelbagai nama dari Indonesia. Padahal isi doktrin serta visi dan misinya lebihkurang sama sahaja. Antaranya ialah Gerakan Negara Islam Indonesia (NII), yang berpusat di Maahad Az-Zaytun, Pemuda kahfi, MLM, Gerakan Islam Bogor, ESQ 165, Rasul Musaddiq (yang kini dinamakan Millah Ibraham) dan berbagai-bagai lagi. Rasul Musaddiq dengan brutalnya mengubah Syahadah kepada MUSADDIQ RASULULLAH, malah mengubah hukum hakam yang jelas dari alQuran. Itupun masih ramai mengikut..!!
Sebenarnya semua gerakan agama itu, di tambah dengan ratusan ajaran yang berskala kecil dari sana adalah lebih kepada meraih dana untuk kepentingan pihak tertentu. Kita yang jahil dan suka memuja orang alim ini hanya ‘terngaga mulut menelan’ apa sahaja yang mereka sampaikan. Keluarlah segala isi poket dan wang di bank untuk membayar apa sahaja yang mereka hajatkan. Itulah kelemahan ketara orang kita. Kerana malas mengkaji maka kita menjadi 'keldai dan kayu’ yang hanya ‘bersandar’ kepada mereka. (QS;62/5, 63/4)
Di Malaysia, masih terlalu pelik jika kita lihat wanita Islam melacur. Tetapi, cuba jelajah seluruh kota-kota di Indonesia. Dari Tanjung Pinang, Batam, Medan, Dumai, Bukit Tinggi, Tanjung Periuk, Jakarta Pusat, Bandung, Indramayu, Jogjakarta, Semarang, Surabaya sampailah ke Bali… anda akan lihat puluhan ribu pusat pelacuran yang hampir 100% pekerja seksnya, bahkan pelanggan setempatnya adalah Umat Islam.
Daripada pusat hiburan seperti pantipijat, dangdut, hinggalah warung pelacuran di Tanjung Periuk, semuanya ada bilik khas untuk melacur. Paling sedih bila kita mengunjungi pondok dan pesantren di pekan atau desa terpencil. Kita terpaksa melintasi celah-celah pusat hiburan dan pelacuran ketika berjalan ke masjid. Pesantren dan masjidnya banyak, tetapi solat mereka gagal mencegah keji dan mungkar. Banyak yang malah 'berjiran' dengan pusat hiburan dan pelacuran.
Sedih apabila melihat adanya perkampungan khusus, sebesar taman perumahan atau sebuah kampung yang menempatkan khusus pusat pelacuran berlesen. Masuk ke situ melalui pintu gerbang khas. Terlalu besar sehingga boleh pilih pelacur secara `pandu masuk’. Kebanyakan pekerja seks dan pelanggannya pula terdiri dari orang Islam.
Di Pelabuhan Tanjung Periuk pula ada tapak khas ‘warung pelacuran’ yang luas, terkenal untuk menyajikan khidmat seks kepada pelanggan dari kalangan penduduk bawahan, pelancung dan anak-anak kapal yang berlabuh. Ia berbentuk warung pasang siap dengan cahaya samar pelita atau lilin di meja hadapan, tetapi ada satu bilik dan katil bujang yang bertutup tirai untuk melampias nafsu. Ironinya, kebanyakan pelacurnya terdiri dari anak-anak bawah umur semuda 13-15 tahun.
KESIMPULAN
Kami menjelajah dan meneliti banyak pondok pesantren dan bertalaqi dengan ramai guru agama di seluruh Indonesia dalam usaha mencari modul terbaik mendidik anak-anak. Semua fenomena di atas adalah hasil dari apa yang kami lihat dan kami dengar sendiri secara langsung, bukan sekadar melalui pembacaan dan berita angin sahaja. Pepatah ikhlas dari warga Indonesia sendiri berbunyi “Di Indonesia ini, yang haram aja udah habis terjual pak.. apatah lagi yang halal”.
Jika anda pembeli barang kulit, hati-hati jangan tertipu kulit babi yang dikatakan kulit kerbau. Jika ingin bernikah, pastikan jangan tertipu dengan isteri orang yang mengaku janda, bahkan ramai gadis yang menikahi beberapa lelaki Cina dan india Singapura yang bukan Islam pada waktu yang sama. Hati-hati juga jika ingin menyerahkan deposit dalam urusan jual beli, contohnya untuk pembelian tertangguh. Ya.. kerana kepadatan populasi dan kesempitan hidup, semuanya halal belaka.
Kemungkinan tertipu di Indonesia amat besar sekali. Hukum halal haram sudah tidak diperduli oleh kebanyakan mereka. Mengapakah pendakwah mereka sibuk berkeliaran di Malaysia, tidak berkerja keras mencegah keji dan mungkar di sana sahaja? jawapannya ialah kerana kita ini banyak wang, pemurah dan mudah diperbodohkan. Kita yang jahil ini sanggup memuja dan membayar mereka kerana terlalu taksub dengan ‘jual beli doktrin agama’ mereka.
Terlalu banyak juga penulis kitab dari Indonesia yang digunakan kitabnya di sini telah kami temui. Kebanyakannya lebih menitikberatkan soal keuntungan dan royalti, bukan atas dasar lillah-billah pun. Kami di sini juga banyak dikunjungi tokoh-tokoh seberang. Pengalaman menunjukkan bahawa hampir kesemuanya hadir dengan maksud mencari LABA DUNIA, bukan untuk mencari redha Allah. Oleh itu, berhentilah kita dari memuja-muja dan diperbudak-budakkan oleh mereka.
Sebenarnya atas konsep ‘hak dan batil’ yang sukar bercampur ibarat ‘minyak dengan air’, maka jika kita benar-benar melakukan sesuatu berdasarkan 'lillah-billah', berpaksikan ilmu alquran dan sunnah yang hak dan kaffah, InsyaAllah kita tidak akan mudah tertipu dengan helah mereka. Kita akan mudah mengesan pendakwah yang fasik juga isi doktrin yang palsu dan menyesatkan.
Tiada jalan pintas untuk mencari kebenaran, melainkan dengan kesabaran menuntut ilmu. Tiada jalan pintas untuk kaya melainkan dengan ketekunan bekerja. Jika tidak, jadilah kita orang yang mudah terikut dengan ajaran sesat dan skim cepat kaya. Wallahuaklam.
WARGA PRIHATIN
https://www.facebook.com/wargapr ... ?type=1&theater