Misteri Puting Beliung Kerap Serang Kedah Patut Dikaji

Puting beliung pernah direkod melanda beberapa negeri di sekitar Semenanjung pada 2010 lalu, iaitu di Pulau Pinang, Perlis dan juga Selangor, namun kejadian itu tidak sekerap yang berlaku di Kedah sejak akhir-akhir ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengakui fenomena pembentukan puting beliung yang beberapa kali berlaku di Kedah sejak kebelakangan ini sebagai ‘misteri’ yang perlu dirungkai.

Bagaimanapun, Pegawai Meteorologi Kanan Pusat Cuaca Nasional MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip, tidak menolak kemungkinan kekerapan pembentukan puting beliung di negeri ini pada kadar yang kerap iaitu tiga kes dalam tempoh hampir sebulan mempunyai kaitan dengan perubahan monsun.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan melakukan kajian mengenai fenomena itu untuk mencari punca sebenar Kedah kini dilihat begitu sinonim sekali dengan pembentukan puting beliung.





“Apa pun kita akan kaji kenapa fenomena ini boleh terbentuk di Kedah kerana kebiasaannya puting beliung terbentuk di sekitar benua Amerika Syarikat. Ia termasuk menilai kenapa ia berlaku dan apa punca serta kriteria yang menyebabkan puting beliung terbentuk dan kenapa Kedah menjadi destinasinya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Pada 14 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 10 premis membabitkan rumah kediaman dan sebuah sekolah sekitar Kampung Alor Besar di Pendang rosak teruk dilanda puting beliung yang disahkan jenis ‘landspout’, sebelum satu lagi insiden sama melanda lima kawasan terutama di Kampung Mergong Hilir, Kampung Sungai Baru dan Kampung Batin, di sini, menyebabkan 72 rumah serta Klinik Desa rosak, Jumaat lalu.

Terbaru, angin kencang seakan-akan puting beliung disahkan jenis ‘downdraft’ turut melanda kawasan Taman Wira Mergong, di sini, petang kelmarin menyebabkan 13 rumah rosak.

Ditanya mengenai peralihan monsun yang dikaitkan sebagai punca paling dekat pembentukan puting beliung di Kedah, Mohd Hisham berkata, ia menyebabkan angin datang dari pelbagai arah, malah keadaan atmosfera juga aktif semasa ini menyebabkan mudahnya pembentukan awan ribut.
“Keadaan ini sekali gus memudahkan pembentukan puting beliung, namun dari segi saintifiknya kita tak berapa pasti mengapa fenomena itu kerap terjadi dan ia pula tertumpu di Kedah saja.

“Hakikatnya sistem ramalan cuaca sama ada di negara ini atau di negara luar, tidak mempunyai keupayaan mengesan pembentukan puting beliung ini...maksudnya kita tak tahu di mana puting beliung itu akan bermula atau terbentuk.

“Malah, saiznya puting beliung yang terlalu kecil iaitu kurang dari satu kilometer (km) turut menyukarkan usaha untuk mengesan pembentukannya. Kita ambil contoh puting beliung darat yang membadai beberapa kawasan di Kedah, ia hanya bersaiz kira-kira 20 hingga 30 meter dengan pergerakan 30 km sejam (km/h),” katanya.

0 comment... add one now