Zarina Anjoulie Pilih Kahwin Negro-TIDAK pernah hilang daripada radar sensasi, Zarina Anjoulie kini jenuh menepis gosip berkasih dengan lelaki kulit hitam.
(gambar hiasan)
PERNAH mencetuskan kontroversi menerusi penyebaran luas gambar-gambar seksinya, kini, model dan pelakon sensasi, Zarina Anjoulie Lavocah, 27, sekali lagi dihambat cerita panas apabila dikaitkan bercinta dan berkahwin dengan lelaki warganegara asing. Lebih mengejutkan lagi, lelaki warga asing yang dimaksudkan itu adalah berkulit hitam.
Pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Anak Pontianak itu nyata terkejut berhubung kontroversi yang melanda dirinya. Zarina turut menafikan sekeras-kerasnya kontroversi itu.
Tidak mahu melatah, namun perasaan bengang jelas terpancar di wajah Zarina. Kurang pasti mengapa masih ada pihak yang sehingga hari ini tidak puas-puas cuba menjatuhkan namanya, Zarina mahu khalayak tahu tidak mustahil dia juga mampu berubah menjadi lebih baik berbanding semalam.
Bertemu Zarina semasa tayangan perdana filem lakonannya, Amir & Loqman Pergi Ke Laut, Kosmo! cuba mendapatkan penerangan sebenar berhubung isu tersebut.
Benarkah desas-desus mengatakan anda kini sedang menjalinkan hubungan dengan lelaki berkulit hitam?
Mula-mula timbul desas-desus tentang percintaan saya dengan Awang Hitam (negro), selepas itu timbul pula cerita konon-kononnya saya sudah berkahwin. Tiada angin tiada ribut, alih-alih timbul cerita sebegitu. Saya pun pada dasarnya tidak tahu-menahu tentang isu tersebut. Mungkin ada sesetengah pihak yang masih kurang berpuas hati dengan saya walaupun saya kini kurang membuat penampilan di khalayak.
Apakah reaksi anda setelah mendapat tahu mengenai gosip tersebut?
Tidak dinafikan, sebagai orang yang ada hati dan perasaan, sudah tentu saya berasa marah apabila tersebarnya gosip sebegitu. Bagi saya, hal itu tidak masuk akal. Sewaktu tersebarnya gosip itu, saya tiada di Malaysia. Saya sedang berada di Indonesia atas urusan kerja. Tetapi, apabila ada rakan-rakan yang menghubungi saya dan bertanya kenapa saya kahwin tetapi tidak menjemput kawan-kawan, saya terus terkejut. Saya tidak melatah kerana selagi kawan-kawan rapat dan keluarga kenal siapa saya dan tahu bahawa cerita itu tidak betul, itu sudah cukup.
Kini anda jarang muncul di kaca televisyen. Mungkin anda sendiri ada sebab tertentu atau adakah anda memang sedang memperlahankan aktiviti seni ketika ini?
Saya akui hal itu. Memang saya sudah jarang mengambil tawaran lakonan kerana saya sedang sibuk menumpukan perhatian kepada pengajian dan perniagaan saya. Bagaimanapun, saya tidak pernah berniat untuk berhenti dalam bidang lakonan kerana lakonan merupakan minat saya sejak kecil. Sebelum ini, saya sudah lama menangguhkan pengajian, bila difikir-fikirkan semula, kalau saya tidak sambung belajar sekarang, bila lagi saya nak capai impian menggenggam ijazah. Sesekali, saya akan berulang-alik ke Jakarta sekiranya ada tawaran sesi fotografi.
Bercakap mengenai hal perniagaan, apakah bidang perniagaan yang sedang anda ceburi sekarang?
Perniagaan merupakan pendapatan sampingan saya. Sekarang saya sedang sibuk mengusahakan dan mempromosikan produk kecantikan iaitu krim wangian, Ched Solid Perfume. Saya bertindak sebagai duta untuk produk itu sejak dua tahun lalu. Di samping itu, saya juga mengusahakan produk minuman kolagen Ladies Secret Breast Out. Ia untuk kesihatan dalaman wanita yang berfungsi mencantikkan payudara dan juga kulit. Syukur, sambutan terhadap dua produk itu cukup menggalakkan.
Memandangkan anda sibuk dengan perniagaan dan pengajian, adakah anda lebih selektif dalam memilih tawaran lakonan yang diberikan?
Saya bukannya memilih, cuma memandangkan saya sibuk, saya mengehadkan aktiviti lakonan saya. Saya hanya akan mengambil tawaran lakonan sekiranya dirasakan berbaloi dan menarik perhatian saya. Saya tidak mahu memberi janji-janji palsu kepada pengarah atau penerbit, nanti kalau saya tidak boleh memberi komitmen dengan baik, sudah tentu akan menjadi masalah kepada pihak produksi.
Anda lebih dikenali menerusi kontroversi negatif berhubung kisah peribadi berbanding pencapaian karier seni, adakah pengalaman itu sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada anda?
Selama ini orang sudah cop saya dengan macam-macam tanggapan negatif. Saya akui, dahulu saya memang banyak buat kesilapan. Kebanyakan kontroversi yang tercetus pun disebabkan kesilapan saya sendiri. Saya tidak salahkan sesiapa. Semua itu saya ambil sebagai pengajaran yang mematangkan saya.