Masukkan Virus Dalam ATM Kebas RM2.5 Juta

Masukkan Virus Dalam ATM Kebas RM2.5 Juta-Sebaik virus berkenaan dimasukkan, penggodam bukan saja berupaya memberi arahan menggunakan pad kekunci untuk membuat pengeluaran wang malah boleh menghentikan sistem penggera.
Kuala Lumpur: Sindiket penggodam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) didapati menggunakan sejenis malware Trojan Horse dikenali sebagai Backdoor.Padpin yang hanya mensasarkan mesin ATM dengan membuka 'pintu belakang' sistem komputer terbabit.

Maklumat diperoleh berdasarkan rujukan ke laman web syarikat keselamatan internet terkemuka, Symantec Corporation selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazerene mendedahkan malware yang digunakan dikenali sebagai 'ulssm.exe..'.

'ulssm.exe..' adalah fail yang diaktifkan dalam sistem komputer berkenaan sebaik malware dimuat naik dan mula beroperasi.

Mortadza yang dipetik Bernama berkata malware berkenaan akan memberi arahan untuk membuat pengeluaran wang yang masih terdapat di dalam mesin ATM yang digodam "Suspek didapati membuka panel atas mesin ATM dipercayai tanpa menggunakan kunci, kemudian memasukkan satu cakera padat ke dalam pusat pemprosesan mesin itu yang kemudiannya akan 'reboot' sistem mesin ATM berkenaan," katanya malam tadi.

Menurutnya lagi, maklumat yang diperoleh daripada jurutera bank mendapati sebanyak 40 keping wang boleh dikeluarkan dalam satu transaksi menggunakan cara berkenaan.

Untuk rekod, Backdoor.Padpin adalah sejenis malware dikenali sebagai Trojan Horse yang direka untuk menceroboh sistem keselamatan komputer dan berupaya melakukan tugasan tertentu.

Backdoor.Padpin, yang mula dikesan pada bulan Mei 2014 turut berupaya 'memadam' dirinya sendiri jika gagal mengawal pad kekunci atau tempat pengeluaran wang.



Petaling Jaya: Satu lagi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank tempatan di Kota Damansara, di sini turut digodam membabitkan kerugian sebanyak RM221,260.

Menurut sumber, kejadian mula disedari pengurus cawangan bank berkenaan kira-kira jam 9 malam tadi selepas mengesyaki sebuah mesin ATM cawangan itu digodam.


Sumber berkata, siasatan awal polis mendapati mesin ATM itu dipercayai digodam kumpulan yang sama yang turut menggodam beberapa mesin ATM lain di sekitar Lembah Klang, hari ini.

Difahamkan kumpulan yang didalangi warga Amerika Selatan itu mula menggodam mesin ATM berkenaan pada tengah malam semalam sebelum membuat pengeluaran tunai petang tadi.


Sumber berkata, pihak polis kini sedang mengesan kumpulan suspek termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), yang terdapat di cawangan bank itu.


Setakat ini sejumlah 14 cawangan membabitkan dua bank tempatan dan sebuah bank antarabangsa dilaporkan menjadi mangsa kumpulan penjenayah antarabangsa itu termasuk serangan ke atas enam cawangan Affin Bank Berhad (Affin Bank) yang dikesan, semalam.

0 comment... add one now