Akibat Remaja Asmara Dalam Kereta Diganggu Polis-Sepasang kekasih ditahan selepas melanggar beberapa kenderaan semata-mata untuk melarikan diri daripada polis yang mengesan mereka sedang melakukan hubungan seks dalam kereta.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, berikutan insiden itu, suspek yang berusia 17 tahun berkelakuan mencurigakan ketika didekati pasukan peronda polis pada pukul 10.30 malam di Jalan Teknologi 3/6, Kota Damansara, di sini Selasa.
"Pemandu kereta itu memakir Inokom Atos biru di tempat gelap dan sunyi.
"Mengesyaki sesuatu, anggota peronda polis mendekati kenderaan itu dan meminta mereka keluar, bagaimanapun remaja terbabit terus memecut kereta itu," katanya pada Rabu.
Azmi berkata, bagaimanapun selepas sejam pihaknya mengesan kenderaan itu berhampiran Plaza Tol Damansara dalam keadaan remuk apabila ia terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Honda Civic.
"Suspek serta merta ditahan di tempat kejadian.
"Kedua-duanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan sebelum ditahan di lokap Shah Alam," katanya sambil menambah beberapa kenderaan lain turut mengalami kerosakan akibat perbuatan remaja terbabit.
Katanya, kes itu disiasat kerana memandu secara berbahaya dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.