Hidup Semula Di Terengganu Selepas 17 Hari

Kuala Terengganu: “Berlinang air mata saya dan isteri melihat anak kembali sedar dari koma selepas 17 hari bertarung nyawa,” kata Roslan Ibrahim, 53, bapa kepada Mohd Hafizi, 22, yang parah di kepala akibat kemalangan di Kampung Chendor, Kuantan, Pahang, 26 Ogos lalu.

Pegawai Bomba Kanan ll dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang itu berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, anaknya yang bekerja buruh di Kemaman memandu kereta Perodua Myvi dalam perjalanan ke Kuantan sebelum terbabas dan merempuh tiang kedai makan di bahu jalan terbabit.

Menurutnya, anaknya yang parah di kepala dibawa ke Hospital Kemaman sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk menjalani pembedahan segera.

Katanya, dia dan isterinya, Wahidah Ismail, 44, sebak selepas dimaklumkan anaknya mengalami pendarahan teruk di kepala dan terpaksa menjalani pembedahan segera.

“Sejak itu saya dan isteri tidak putus berdoa kepada Tuhan supaya anak kembali sembuh.

“Saya juga terharu dengan layanan doktor dan jururawat di HSNZ yang setiap masa memantau keadaan anak yang masih koma.

“Mujurlah berkat doa dan kepakaran doktor di sini, akhirnya anak memberikan respons positif dengan membuka mata semalam (kelmarin),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di HSNZ, semalam.

Roslan berkata, dia dan isterinya mengalir air mata kesyukuran melihat kedua belah mata Mohd Hafizi sudah terbuka malah memberi respons seakan memahami kata-kata dia dan isterinya kelmarin.

Menurutnya, anaknya semakin menunjukkan pergerakan di kedua belah tangan dan doktor meminta dia melatih tangan anaknya dengan menggunakan bola kecil.

“Saya dan isteri berharap dia segera sembuh serta mampu bertutur semula seperti dulu dan mungkin saya akan membuat sedikit majlis doa selamat untuknya apabila keluar dari wad nanti,” katanya.


Foto
ROSLAN dan Wahidah memberi kata-kata semangat kepada Mohd Hafizi yang sedar dari koma.

0 comment... add one now