Iskandar Abdul Samad Menteri Besar Baru Selangor-Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu Jumaat ini.
Mengikut sumber yang dihubungi SuaraTV sebentar tadi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka akan memberi perkenan untuk melantik Iskandar untuk menerajui kepimpinan negeri bagi mengantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Saya difahamkan, tindakan PKR dan DAP yang engkar titah Sultan itu telah menyebabkan baginda kecewa dan murka.
“Atas alasan itu, Baginda dikatakan akan melantik salah seorang ADUN dari kalangan PAS bagi menggantikan Khalid dan antara nama yang disebut-sebut ialah YB Iskandar” katanya kepada SuaraTV sebentar tadi.
Sekiranya Sultan Selangor berpuas hati, pihak Istana dijangka akan mengeluarkan kenyataan untuk memaklumkan tarikh untuk angkat sumpah.
Ketika ditanya mengenai undi tidak percaya yang akan mungkin diusulkan Ahli Dewan Undangan sekiranya Iskandar gagal mendapat sokongan majoriti, sumber itu mendakwa ia tidak berbangkit pada ketika ini.
“Pada ketika perkembangan pentadbiran negeri hanya difokuskan untuk melantik Menteri Besar yang baharu dan perkara itu perlu dibangkitkan kerana berbagai kemungkinan boleh berlaku” katanya lagi.
Sumber portal Malaysian Insider sebelum ini melaporkan, tiga Exco PAS akan dipanggil menghadap Sultan Selangor mulai hari ini, esok dan lusa secara bergilir-gilir.
Ia kemudianya diikuti dengan Sallehen yang merupakan ADUN Sabak pada keesokannya dan Ahmad Yunus (Sijangkang) pada Rabu, menurut sumber.
Difahamkan, Sultan Selangor mahu bertemu ketiga-tiga Adun PAS ini berhubung kekecohan pelantikan menteri besar baharu untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ketiga-tiga exco dari PAS itu dinamakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon menteri besar Selangor dalam surat pertamanya kepada istana yang dihantar pada 2 September lalu.
Bagaimanapun, selepas berlaku sedikit kekecohan dalaman PAS, Hadi menghantar surat kedua kepada Sultan Selangor pada 3 September dan menamakan 2 Adun PKR dan seorang daripada PAS.
Difahamkan, nama calon yang dihantar Hadi dalam surat keduanya adalah Adun Ijok Dr Idris Ahmad (PKR), Adun Kota Anggerik Yaakob Sapari (PKR) dan Iskandar.
Sultan Selangor dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi kecewa dengan tindakan PKR dan DAP yang mengingkari arahannya supaya mengemukakan lebih 2 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan parti DAP dan PKR yang ingkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos 2014.
“Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor,” kata Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani, hari ini.
Munir berkata, Sultan Selangor akan meneliti senarai calon yang dikemukakan PAS, PKR, dan DAP dan mengambil kira segala aspek sebelum keputusan dibuat.
“Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik menteri besar Selangor terletak pada budi bicara Sultan Selangor, maka baginda juga akan meneliti nama-nama Adun yang lain daripada Pakatan Rakyat yang berkelayakan dan pada fikiran Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri,” katanya.
Katanya, hanya PAS yang akur dengan titah Sultan Selangor dengan menyenaraikan 3 nama calon menteri besar Selangor.
Manakala DAP dan PKR masing-masing mengemukakan hanya 1 nama saja, iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Katanya, titah baginda supaya mengemukakan senarai lebih 2 calon adalah amalan bagi membolehkan baginda membuat pilihan dengan melihat bukan saja sokongan majoriti Adun malah daripada segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang Adun tersebut.
“Ciri ini amat penting bagi menjamin perjalanan pentadbiran negeri agar berjalan dengan baik dan lancar demi keharmonian rakyat negeri Selangor.
“Sultan Selangor berkeyakinan terdapat ramai calon dalam parti Pakatan Rakyat yang mempunyai ciri kepimpinan yang tinggi seperti disebutkan tadi bagi menerajui kerajaan negeri Selangor,” katanya.
Pada masa sama, baginda tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan nama ADUN lain daripada parti Pakatan Rakyat (PR) yang berkelayakan untuk dilantik memimpin negeri terkaya itu.
Sultan Selangor pada 27 Ogos lalu menitahkan ketiga-tiga parti dalam PR mencadangkan lebih 2 nama sebagai calon menteri besar sebelum 3 September bagi memudahkannya membuat pilihan, namun DAP dan PKR bertegas mahu menghantar nama Dr Wan Azizah saja.
PKR pada 3 September kemudiannya menerima surat amaran daripada istana yang mengingatkan mereka supaya menghantar lebih 2 nama selain Dr Wan Azizah.
PKR dan DAP sebelum ini berkata mereka kekal dengan keputusan untuk menamakan hanya satu sahaja nama sebagai calon menteri besar iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi dipersembahkan kepada Sultan Selangor.
Menurut kenyataan media bersama itu, keputusan Sultan Selangor sejajar dengan konvensyen pelantikan menteri besar pada 2013 dan pada ketika itu, PR hanya menamakan satu nama sahaja.
“…parti-parti Pakatan Rakyat telah mencalonkan satu nama iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim untuk dipertimbangkan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam tahun 2013. Pencalonan ini diperkenankan dan diterimapakai oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor,” ujar kenyataan itu. - Suara.tv