Saintis Jepun Dedah Kajian Air Zam-Zam-KAJIAN seorang saintis Jepun mendapati bahawa air zam-zam mempunyai keajaiban dan kandungan airnya berbeza dengan yang lain.
Dr Masaru Emoto dari Universiti Yokohama, Jepun menjalankan kajian ke atas perubahan bentuk molekul air yang didedahkan kepada pengaruh-pengaruh positif dan negatif.
Beliau mendapati apabila air didedahkan kepada kata-kata, tulisan dan pesanan yang berbentuk positif, air-air tersebut membentuk molekul yang berbentuk kristal indah.
Sebagai contoh, dalam salah satu eksperimen beliau, air didedahkan dengan bacaan doa agama Islam dan molekul air yang terhasil membentuk kristal indah berbentuk segi enam dengan lima cabang daun yang berkilauan indah.
Beliau turut mendapati molekul air yang terhasil menerusi eksperimen ke atas air zam-zam adalah bercabang-cabang dan berkilauan.
Emoto mendedahkan hasil penemuannya itu dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mac 2005 di New York.
Dalam eksperimen tersebut turut mendedahkan pengaruh unsur-unsur negatif terhadap air.
Menurut Emoto, apabila air didedahkan kepada perkataan syaitan dan muzik heavy metal, kristal molekul air yang terhasil tidak mempunyai bentuk dan kelihatan hancur serta buruk.
“Ternyata, air boleh ‘mendengar, membaca dan memahami’ kata dan doa,” katanya.
Pada Persidangan Air Sedunia di salah sebuah universiti di negara ini beberapa tahun lalu turut membuktikan segala fakta mengenai air.
Sewaktu persidangan itu, air dari merata dunia diambil dan diperiksa akan ‘kehebatannya’.
Kamera berfrekuensi tinggi berjarak jauh digunakan untuk melihat akan gambaran yang terjadi kepada air yang sedang diuji itu.
Maka air dari Sungai Ganges dan juga termasuk air zam-zam diuji dan dikenal pasti.
Uniknya, air zam-zam membentuk molekul yang begitu kukuh, strukturnya tidak berubah disebabkan apa jua tekanan.
Malah, kehebatan air zam-zam didapati mampu merakam dengan tepat gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu tertentu.
Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di makmal Eropah, terbukti bahawa air zam-zam memang lain daripada yang lain.
Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Mekah.
Telaga air zam-zam.
Ia mengandungi kadar kalsium dan garam magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan penyembuhan.
Air zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.
Lebih menakjubkan, tidak ada sedikitpun lumut di telaga zam-zam dan ia sentiasa bebas dari pencemaran kuman.
Justeru, dalam perubatan Islam, penggunaan air penawar dalam rawatan adalah satu aspek penting untuk diamalkan pesakit.
Air penawar biasanya dibacakan Surah al-Fatihah atau ayat suci al-Quran yang berkaitan dengan penyakit dialami pesakit.
Selepas pesakit membaca ayat al-Quran, mereka dikehendaki membaca doa memohon kepada Allah untuk penyembuhan dan doa ini turut dibacakan ke air penawar.
Teori Emoto mengenai perubahan kristal molekul air jelas menerangkan kemujaraban air penawar yang didedahkan kepada bacaan ayat suci al-Quran.
Pembacaan ayat suci al-Quran ke atas air penawar menyebabkan kristal molekul air penawar berubah kepada bentuk kristal indah dan memberi kesan positif kepada peminumnya. – Mstar.com.my