Punca Pekerja Minyak Dipecat Kerana Lapor Ternampak MH370
Beliau sebelum ini mendakwa ternampak satu pesawat atau kapal terbang yang sedang terbakar dari pelantar minyak di Sonha Mercur, Tenggara Vietnam.
Laman media Stuff.co.nz dipetik semalam melaporkan, Mckay terlebih dulu menghantar e-mel berhubung apa dilihat kepada majikannya sebelum maklumat itu bocor dan tersebar meluas di media.
Di dalam e-mel itu, Mckay menyatakan lokasi tepat pelantar minyak itu berada, kedudukan kompas antara pesawat dilihat dan pelantar minyak, jarak anggaran lalitud dan longlitud, keadaan permukaan dan arah angin di lautan.
Bagaimanapun, maklumat itu didedahkan seorang wartawan dari Australia yang menerima salinan e-mel Mckay yang mendakwanya cuba menghubungi kerajaan Malaysia dan Vietnam bagi memaklumkan insiden itu.
Berikutan penyebaran e-mel itu yang menyatakan nama dan lokasi pengendali, kontraktor dan pemilik pelantar minyak menyebabkan pihak syarikat dihujani pelbagai pertanyaan daripada banyak pihak.
“Ini mungkin menjadi tekanan kepada mereka.
Saya kemudian dibuang kerja dari pelantar minyak dan tidak ditawarkan tugas lagi.
“Pihak syarikat membayar gaji, namun saya diarahkan meninggalkan pelantar lima hari lebih awal,” kata Mckay.
Bagaimanapun, pihak pengendali pelantar minyak memberi alasan mendakwa Mckay ditamatkan tugas berikutan mereka sudah mengambil jurutera tempatan untuk menggantikan tugasnya.
Mckay sudah dihantar pulang ke New Zealand dan akan menunggu tawaran kontrak baru dari syarikat berkenaan yang sudah bergiat aktif sejak 2008.
“Saya masih percaya objek yang terbakar itu adalah kapal terbang.
Besar kemungkinan ia MH370 berikutan ia muncul pada masa kehilangannya dilaporkan.
“Saya sudah memberi kenyataan dan laporan kepada pihak polis New Zealand dan Polis Antarabangsa Interpol sebaik pulang ke negara asal saya,” katanya.