Akhirnya Sultan Johor Diberi Kuasa Dalam Pentadbiran Negeri

KUALA LUMPUR: Meskipun mendapat tentangan dan reaksi pelbagai pihak, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini tetap meluluskan Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) 2014.

LPHJ 2014 itu diluluskan pada jam 5.19 petang oleh Speker DUN Johor, Tan Sri Mohammad Aziz selepas mendapat persetujuan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Akhirnya Sultan Johor Diberi Kuasa Dalam Pentadbiran Negeri | Enakmen setebal 36 muka surat itu dibentangkan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Latif Bandi di Kota Iskandar, Nusajaya, Johor pada pukul 2.30 petang sebelum dibahaskan oleh lima ADUN Barisan Nasional (BN) serta tiga ADUN Pakatan Rakyat, dengan masing-masing diperuntukkan masa kira-kira 10 minit.

Enakmen itu disokong semua 38 wakil rakyat BN, manakala semua 18 wakil pembangkang menolaknya.

Enakmen itu yang pada mulanya dilihat member kuasa kepada Sultan dalam pentadbiran kerana pembabitannya dalam LPHJ menyaksikan beberapa pindaan.

Terdapat lapan Fasal yang membabitkan 10 Sub Seksyen dipinda.

Antaranya, Fasal 12 Sub Seksyen 2 membabitkan perlantikan Pengarah hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja, dan dipinda perlu mendapat kelulusan Raja atas nasihat Menteri Besar.

Turut dipinda Fasal 4 Sub Seksyen 3 iaitu ahli-ahli lembaga bolehlah dibayar saran dan elaun mereka seperti yang ditentukan oleh Raja, dipinda kepada ditentukan oleh pihak berkuasa negeri.

Pindaan turut dibuat terhadap Fasal 32 Sub Seksyen 3, tahun kewangan dan akaun beraudit dimana lembaga hendaklah dalam tempoh enam bulan selepas berakhir tiap-tiap satu tahun kewangan mengaudit akaunnya dan menghantar kepada Raja dan pihak berkuasa negeri, dipinda kepada pihak berkuasa negeri sahaja.

Hasrat kerajaan negeri Johor itu sebelum ini itu menimbulkan pelbagai persoalan, reaksi dan kritikan kerana dilihat boleh membuka peluang kepada pihak tertentu mengeksploitasikan institusi raja-raja.

Antara yang mengutarakan pandang termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan bimbang jika penglibatan institusi beraja dalam pentadbiran kerajaan negeri boleh mendorong kepada perasaan tidak menghormati institusi itu dalam kalangan rakyat.

Dalam tulisan yang disiarkan diblognya, Dr Mahathir berkata, biarpun masyarakat Melayu setia terhadap institusi beraja, namun apabila keupayaan untuk mempertahankan institusi itu terhakis, mereka mungkin meninggalkan adat berkenaan.

Manakala Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar pula mendesak kerajaan Johor supaya tidak meluluskan rang undang-undang baharu itu kerana ia akan menjejaskan prinsip-prinsip pemerintahan beraja yang telah sekian lama mempertahankan kejayaan Malaysia.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, cadangan pembentangan satu enakmen baharu bagi penubuhan LPHJ perlu membawa kebaikan, manfaat serta melindungi kepentingan semua, terutama sekali rakyat.

Katanya, enakmen tersebut mestilah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat sistem raja berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta amalan demokrasi negara ini.

Bagaimanapun pada Ahad, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam sidang DUN menyatakan bahawa terdapat pindaan fasal dalam rang undang-undang itu khususnya peruntukan yang menyentuh peranan raja.

Pindaan dilakukan selepas pihak berkuasa negeri mengambil pandangan itu selain mahu memelihara sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan selama ini.-astro awani

0 comment... add one now