Doktor Khatan Potong Habis Adik Tengok Bird Dia Dah Tak Ada | BERSUNAT atau berkhatan memang mendebarkan. Kalau dahulu, takutnya kerana kitalah yang dikhatankan. Rupa-rupanya setelah jadi bapa orang, ketakutan berkhatan masih tidak boleh dielakkan.
Beberapa hari lalu, anak ketiga saya, Amir Farhan yang berumur 10 tahun, berkhatan. Malam sebelum itu, saya tidak lena tidur. Berdebar dan takut seolah-olah saya sendiri yang akan dikhatankan esoknya.
Munasabah ketakutan saya kerana ada pengalaman buruk pernah berlaku dan saya cukup bimbang kalau-kalau ia berulang. Tujuh tahun lalu, anak kedua saya, Amin Nasrin mengalami pendarahan teruk selepas berkhatan. Dan sejak itu, saya risau kalau hal yang sama berlaku lagi kepada anak yang lain.
Syukur kepada ALLAH, nasib malang dilalui Amin tidak berulang kepada adiknya, Amir. Harapnya tidak jugalah kepada si bongsu, Aliff Zafran.
Dalam sejarah hidup saya, dua perkara yang saya paling mendebarkan dalam hidup ialah berkhatan dan akad nikah. Sekarang, Alhamdulillah, kedua-duanya telah dilepasi dan tidak akan ada ulangan lagi.
Ada sedikit cerita karut selepas berkhatan dahulu, saya dihantui rasa takut kalau-kalau yang sudah dipotong itu akan tumbuh semula. Entah siapa yang mengusik begitu, saya sudah lupa. Begitu juga dengan akad nikah, cukuplah sekali, jangan ada yang kedua atau ketiga!
Bawa Amir ke klinik pada pagi 31 Mei 2014, teringat pengalaman saya sendiri pada 10 Disember 1981. Ya, sudah lama dan keadaan sudah berubah. Kaedah berkhatan juga jauh lebih mudah. Setengah jam siap dan sudah boleh balik rumah.
Kami dahulu tidak serupa. Berkhatan siap ada kenduri-kendara. Meriahnya tidak terkata, macam kenduri kahwin, tinggal tidak ada pelamin. Kami berhimpun di rumah tunggu tok mudim. Melihat dia datang, walaupun tanpa misai melintang seperti yang selalu digambarkan, debaran kami yang menunggu giliran, tetap kencang.
Sambil tersenyum, tok mudim tanya siapa mahu jadi yang pertama. Saya angkat tangan.
Entah apa yang dijampinya saya pun tidak perasan, tiba-tiba sahaja tangan terangkat minta giliran.
Dia panggil, saya bangun berjalan kemudian terus duduk di atas batang pisang. Kami berhadapan. Ada seorang bertinggung di belakang pegang tangan saya takut kalau-kalau bingkas terbang.
Sambil itu, saya masih boleh tersengih kepada orang yang tertinjau-tinjau nak tengok dari luar rumah.
Pada masa dijepit, tidak tahan lalu saya menjerit sakit. Adegan seterusnya biarlah rahsia kerana sangat sulit.
Tetapi yang saya ingat, raungan paling kuat daripada seorang kawan yang pada masa itu 14 tahun sudah umurnya. Bayangkanlah raungan lelaki yang sudah akil baligh!
Masih ingat beberapa hari sebelum itu, dia menakut-nakutkan saya. Oleh sebab umurnya lebih tua, saya percaya dia sendiri tentu sudah lepas punya. Rupa-rupanya belum, macam saya juga. Selepas itu, giliran saya pula gelakkan dia. Budak tua, sudah akil baligh baharu bersunat, terlalu buruk bunyinya!
Selepas bersunat, saya masih ingat gurauan saudara mara kepada ayah supaya cepat carikan saya isteri. Walaupun masih budak-budak, berbunga juga di dalam hati.
Dan saya pun kelmarin cuba guraukan yang sama kepada Amir. Zaman berubah, dia buat tidak endah!
30 tahun lebih lamanya namun masih lagi terasa. Seksanya makan berpantang setiap hari nasi hanya berlauk ikan talang.
Paling sedap pun dibuat masak cuka atau masak asam. Minum pun tidak boleh banyak, takut jadi ‘temolok’ macam ayam. Apabila nak terkencing, aduh seksanya bukan kepalang!
Pada masa itu, paling marah kalau ditunjuk jag air sirap, lebih-lebih lagi sirap bandung. Masakan tidak, siang malam hanya diberi teh O tidak sampai setengah gelas.
Hari itu, setelah bawa Amir balik ke rumah, adiknya, Aliff yang berumur lima tahun bertanya: "'Bird' abang Amir, doktor potong habis ke abah?"
Saya jawab:" Tidak. Doktor buang sikit, buang topi saja."
Kemudian katanya, "Tapi kan abah... kawan adik kat taska bersunat, 'bird' dia doktor buang habis... adik tengok 'bird' dia dah tak ada.."
Saya hanya tergelak. Budak-budak, biasalah selalu bikin cerita.
Tidak puas hati dengan reaksi saya agaknya, Aliff kemudian berkata lagi, "kawan adik tu kan abah... dia pompuan."
Oh! Patutlah.-SinarHarian
Doktor Khatan Potong Habis Adik Tengok Bird Dia Dah Tak Ada
Anonymous0 comment... add one now
Next post: ← Next Entries
Prev post: Previous Entries →