Berikutan itu mereka telah membuat laporan di ibu pejabat polis Daerah Marang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Salah seorang penduduk terbabit, Alias Salleh, 36, berkata pada pukul 1.20 pagi berkenaan ketika beliau bersama tujuh lagi rakannya sedang bersantai duduk di bangku kira-kira 400 meter dari pantai Marang, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seperti kipas kapal terbang.
"Bunyi yang kuat dan menakutkan itu dipercayai datang dari timur laut Pulau Kapas sebelum kami bergegas ke arah tersebut untuk mengesan punca bunyi itu. "Kami mencari di sekitar Pantai Rhu Muda namun tidak menemui apa-apa yang mencurigakan," kata Alias, seorang pemandu lori.
Ditanya mengapa beliau membuat laporan selepas empat hari kejadian itu berlaku, bapa kepada tiga orang anak itu berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaporkan maklumat kepada pihak berkuasa bila pesawat masih tidak ditemui hari ini selepas empat hari berlalu.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Yusri Mohd Yusof, 34, berkata bunyi yang kuat dan agak pelik itu pada awalnya disangkakan fenomena Tsunami.
"Bunyi bising yang kedengaran seperti kipas kapal terbang itu dapat saya dan rakan-rakan dengar selama dua minit dan bunyi itu berdesing.
"Saya mengambil keputusan ini (membuat laporan) selepas berasa curiga dengan bunyi itu dan ditambah lagi dengan laporan media berkaitan kes kehilangan pesawat," kata beliau.
Mohd Yusri turut mendakwa beberapa kawannya termasuk pemancing dan nelayan turut mendengar bunyi aneh berkenaan dari arah pantai.
Pesawat MAS Penerbangan MH370 itu membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu.- BERNAMA.