Restu Perkahwinan Dari Ibu Bapa Penting-Nora Danish

Restu Perkahwinan Dari Ibu Bapa Penting-Nora Danish | Mengakui status Nedim sebagai salah seorang lelaki yang paling rapat dalam hidupnya kini, Nora menjelaskan bahawa dia juga rapat dengan ahli lelaki lain dalam kawanan 15 orang kumpulan rakan baik yang digelar sebagai ‘Dimorian Crew’.

“Kami semua adalah kawan baik yang saling bantu membantu, memberikan sokongan moral dan melakukan banyak kegiatan bersama. Baru semalam (Ahad) kami ke Kuantan untuk membantu mangsa banjir di sana dengan dua lori penuh barangan keperluan asas bersama-sama dengan ADUN Lanchang, Dato Sharkar Haji Shamsudin,” katanya.

“Seperti yang sering saya katakan sebelum ini, saya tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan berkenaan cinta. Sekiranya saya ditakdirkan bertemu jodoh, saya hanya akan mengumumkan tarikh perkahwinan walau dengan sesiapapun di masa depan,” ujarnya.

Saat ditanya tentang kualiti baik yang ada pada diri Nedim, Nora berkata dia menyenangi personalitinya yang cukup mengambil berat akan orang sekeliling selain dari seorang yang begitu dekat dengan keluarga, berbeza sekali dengan penampilan luarannya.
                 

Begitupun, Nora sempat menyatakan bahawa restu ibu bapa adalah satu kriteria yang cukup penting dalam menentukan perjalanan cinta dalam hidupnya.
                     

“Walau apapun, elemen yang paling penting dalam satu-satu perhubungan adalah restu dari kedua ibu bapa. Jadi, sekiranya percintaan saya mendapat tentangan dari orang tua tak kira dari pihak sebelah mana, saya tidak akan berani meneruskan hubungan tersebut. Saya faham, status saya sebagai seorang selebriti dan ibu tunggal mungkin memberikan persepsi kurang baik buat sebahagian orang, dan itu menjadi tanggungjawab saya untuk memperbetulkan tanggapan negatif masyarakat. Begitupun, saya percaya sekiranya benar ibu bapa Nedim tidak suka saya berkawan dengannya, dia sendiri akan mengkhabarkan berita tersebut,” ujarnya lagi.

Menafikan dirinya hanya bercitarasa VIP, Nora berkongsi bahawa dia pernah meluangkan masa bersama ahli keluarga Nedim sebelum ini. “Mereka semua terdiri dari kalangan orang yang baik-baik dan telah memberikan layanan yang mesra. Nora bersyukur kerana sering dikelilingi oleh orang sebegini dalam hidup. Malah hingga kini, hubungan Nora dengan keluarga bekas mertua juga masih baik dan rapat.”
                         
Ditanya tentang perkembangan seni terbarunya, Nora mahu mengajak peminat untuk hadir menonton percubaan pertamanya dalam arena teater melalui muzikal ‘Bahayanya Wanita’, garapan sutradara Erma Fatima di Istana Budaya lewat Disember nanti.

“Saya masih lagi dalam tempoh latihan intensif sebelum malam pembukaan pada 20 Disember. Terlibat dalam produksi muzikal tentunya memerlukan saya untuk menyanyi. Walaupun lagu-lagu tersebut telah dirakamkan terlebih dahulu, ia tetap satu pengalaman baru buat saya. Malah, saya teruja sekali bila dapat berkongsi pentas dengan aktres-aktres hebat seperti Erra Fazira dan Umie Aida. Begitupun, saya bakal digantikan dengan Lana Nordin untuk pementasan pada setiap hari Jumaat berikutan komitmen saya pada Maharaja Lawak Mega.”

Selain itu, Nora juga bakal muncul dalam filem seram arahan Eyra Rahman berjudul ‘Pengantin Malam’ yang sedang menanti tarikh tayangan selain terlibat sebagai juri tetap program ‘Maharaja Lawak Mega’ sehingga Februari 2014. Nora ditemui media usai majlis perlantikan dirinya sebagai duta bagi produk kecantikan Sure White Beauty Plus dan C-Glow Factor oleh Vital Green Health pada Isnin di Flora Terrace, Hampshire Place.
Restu Perkahwinan Dari Ibu Bapa Penting-Nora Danish

0 comment... add one now