Pada 20 Disember lalu, Boboi telah tersingkir dalam MLM. Mereka sendiri pun mengharapkan agar cepat-cepatlah tersingkir.
Sebabnya, prestasi semakin kurang selain mereka sendiri tidak mampu untuk memberi persembahan yang memuaskan sebagai pak lawak.
Dalam hal ini saya pula nak tegur Nora Danish dan juga juri-juri lain.
Apabila seseorang itu menjadi juri dalam sesebuah rancangan yang memberi kuasa kepada para peminat untuk turut memilih pemenang, kita tak payahlah nak fikir serius sangat pun.
Berilah komen macam mana sekali pun, pertandingan itu tidak memberi apa-apa kesan.
Dalam MLM, juri memberi markah 70 peratus manakala peminat sebanyak 30 peratus.
Hakikatnya lawak-lawak yang tonjolkan oleh sebilangan pak lawak mi segera ketika ini hanyalah lawak-lawak bodoh sahaja.
Mutu dan tahap persembahan pelawak di negara ini masih lagi rendah dan tak ada kualiti.
Nilai wang ratusan ribu yang diberikan kepada pak lawak tidak memberi apa-apa makna dan lebih membuang masa.
Apatah lagi dengan wujudnya sesebuah pertandingan yang memberi kuasa kepada peminat untuk memilih, maka lebih banyaklah pelawak mi segera ini akan muncul pada masa hadapan.
Kuasa SMS (khidmat pesanan ringkas) sebenarnya menjadi punca terhadap runtuhnya industri hiburan sementara stesen televisyen pula hanya memikirkan bagaimana menjana pendapatan melalui program yang diterbitkan.
Ia menyebabkan dunia hiburan kita pada ketika ini berada dalam keadaan yang cukup bahaya selain mewujudkan persepsi kekayaan boleh datang dengan cepat jika menjadi artis. Sebab itulah semakin ramai orang hendak menjadi artis, pelawak, pelakon dan penyanyi.
Tetapi berapa kerat pula yang berebut-rebut untuk mencari ilmu?
Program realiti yang menjanjikan hadiah wang tunai ratusan ribu ringgit antara penyumbang dalam mengaburi mata penonton yang tidak menyedari dunia hiburan di negara ini tidak mempunyai apa-apa pun.
Sebab itulah apabila Nora Danish terasa hati dengan sindiran Boboi, saya juga terkejut. Soal terasa atau tidak seharusnya tidak wujud untuk sesebuah pertandingan yang ada kaitan dengan SMS.
Nora tidak punyai kuasa penuh pun untuk menentukan siapa yang kalah atau menang. Malah komen-komen yang diberikan Nora juga banyak klise yang juga tidak memberi erti kepada pelawak di pentas.
Kalaulah saya jadi Nora, inilah peluang untuk saya melihat pelbagai sudut kelemahan pelawak yang menyertai pertandingan ini yang saya nampak mereka hanya ingin membolot wang kemenangan dan bukanlah mahu menjadi pelawak yang sebenar-benarnya pak lawak.
NIEZAM: Teringat kisah lama, seorang pelawak menjelir-jelir lidahnya pada seorang pelanggan stesen minyak. Lawak sangat ke tu?
-mStar