Pemandu MyV Belasah Mati Pemilik Wira Selepas Kemalangan Kecil

SEGAMAT – Seorang penjawat awam maut selepas dipukul tiga lelaki di Kilometer 69 Jalan Muar-Segamat berhampiran Kampung Lubok Bandan di sini awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Yusuf Unais berkata, dalam kejadian pada pukul 1 pagi, Mohd. Zainuddin Md. Ali, 39, yang memandu kereta jenis Proton Wira dalam perjalanan dari arah Jementah ke Segamat.

“Mengikut siasatan awal, dipercayai berlaku pelanggaran antara kereta dipandu mangsa dengan kereta jenis Perodua Myvi milik suspek yang dinaiki empat lagi penumpang. Mangsa memberhentikan keretanya di kawasan kejadian.

“Berlaku sedikit pertengkaran antara mangsa dan pemandu kereta Perodua Myvi sebelum suspek bersama dua lagi rakan lelakinya bertindak memukul mangsa sehingga mati sambil disaksikan dua lagi penumpang kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.-kosmo


MOHD ZAINUDDIN


SEGAMAT - “Saya terkilan kerana tak sempat siapkan kerja mengecat kereta adik. Kali terakhir saya jumpa dengannya, dia kelihatan gembira dan tiada sebarang perubahan pada dirinya."

Itu luahan abang kepada kakitangan Pejabat Hutan Tangkak, Mohd Zainuddin Md Ali, 39, yang maut dipercayai dibelasah selepas keretanya terbabit dalam kemalangan kecil di Jementah awal pagi, Jumaat lalu.

Mohd Hishamuddin, 41, berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya ketika arwah menghantar kereta ke bengkelnya di Tangkak untuk dibaiki dan dicat baharu pada minggu lalu.


“Adik saya dah hampir 20 tahun bertugas dengan Jabatan Hutan dan meninggalkan seorang balu bersama dua anak lelaki berusia 6 dan 16 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian malang menimpa adiknya kira-kira jam 9.30 pagi pada hari kejadian selepas dimaklumkan isterinya sebelum segera ke Hospital Daerah Segamat (HDS).

Katanya, kejadian dipercayai disebabkan lampu isyarat di kawasan terbabit bertukar merah menyebabkan kereta di hadapan berhenti mengejut, sehingga adiknya terlanggar kereta tersebut sebelum berlaku pertengkaran.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan anggap sebagai takdir, namun saya harap suspek dalam kejadian ini menerima hukuman setimpal.

“Yang penting sekarang ini, nasib dan kebajikan anak serta isteri arwah terbela,” katanya.

Mohd Hishamuddin berkata, jenazah Allahyarham Mohd Zainuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangkak.

Sinar Harian kelmarin melaporkan, mangsa maut selepas dipercayai ditikam dan dibelasah tiga lelaki di Kilometer 69 Jalan Muar-Segamat selepas kereta Proton Wira yang dipandunya dilanggar kereta Perodua MyVi yang dinaiki oleh suspek.-sinar

0 comment... add one now