PULAU PINANG - Sebuah lagi kuil Hindu berusia lebih seratus tahun di Penanti dipecah masuk dan patung-patungnya dipecahkan.
Serangan kali ini dikatakan "lebih teruk" berbanding kejadian di sebuah kuil berhampiran yang lain minggu lalu.
Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy berkata kuil Sri Dharma Munisverar yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kuil Muthumariamman di Estet Penanti dirosakkan sekitar tengah malam.
"Insiden sebelum ini berlaku Khamis lalu. Hari ini, kami dapati bahawa patung-patung telah dimusnahkan lebih teruk daripada sebelum ini," kata Ramasamy kepada Malaysiakini.
Ramasamy berkata penceroboh dipercayai masuk dan membaling batu besar ke arah tiga patung berkenaan hingga menyebabkan ia berkecai.
Katanya, jawatankuasa yang menyelia kedua-dua kuil berkenaan terkejut dengan kejadian itu dan tidak dapat menerima tempat ibadat mereka dirosakkan.
Menurutnya, beliau telah berhubungan dengan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rejab yang memberi jaminan perkara itu akan disiasat dengan teliti.
"Bagaimanapun, polis masih tidak pasti sama ada kerosakan itu adalah angkara orang dalam atau orang luar.
“Polis perlu berjaga-jaga dari sekarang dan lebih kerap membuat rondaan untuk memantau kawasan yang terjejas," kata Ramasamy.