Darah Nabi Di Melaka Jadi Punca Perbalahan Netizen



PETALING JAYA: Khurafat, wahabi, syirik dan pedagang agama antara tuduhan yang dilemparkan pengkritik dan pembela artifak darah bekam Rasulullah berusia 1400 tahun yang kini dipamerkan di Masjid Al-Azim di Bukit Palah, Melaka.

Selepas gambar artifak daripada Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat itu dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, artifak itu kini menjadi titik perdebatan di internet.

“Darah yang dia agung agungkan.. sepatutnya ditanam bukan tayang buat azimat camni! Kalau sayangkan nabi, sebarang milik anggota tubuh orang yang tiada patut ditanam.. Nabi manusia biasa perlu balik ke asal tanah.. ni dah salah akidah ni!” kata seorang pengguna Facebook, Hamzah Osman.

“Bukan diagungkan tapi ditunjukkan pada umatnya yang mencintainya.. wahabi ke?”, jawab Rizki Al Husaini Lubis.

“Astaghfirullahalaziim. Tak tahu ke kisah sahabat Nabi minum darah bekam Nabi?” sambut Nazmi Shamsudin pula mempertahankan kesucian artifak itu, “Tolong jangan guna akal kamu! Jangan ikut logik akal kamu!”

“Dah macam syiah dan suka sangat berlebih-lebih nak sembah benda macam ini,” tulis Eddy Lorenzo pula. Setakat berita ini ditulis, ruangan komen gambar berkenaan sudah mencecah 462 komen.

FMT menghubungi Majlis Agama Islam Melaka bagi mendapatkan penjelasan berkenaan artifak tersebut.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md Amin menjelaskan tujuan pameran itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia menghayati peninggalan Nabi Muhammad SAW dengan lebih dekat, terutamanya mereka yang tidak mampu ke luar negara.

“Tidak timbul soal khurafat. Tujuan pameran itu bukannya untuk menyembah bagi tujuan syirik. Lagipun kita tidak benarkan mana-mana pihak buat zikir serta pemujaan,” tegas Yaakub.

Selain daripada darah bekam itu, turut dipamerkan adalah lebih 40 lagi artifak Rasulullah termasuk rambut, kesan tapak kaki, capal, pedang, cop mohor dan kain penutup makam.

Sementara itu, penganjur pameran iaitu ANO Ventures Sdn Bhd melahirkan rasa dukacita pameran mereka dianggap boleh membawa kepada khurafat.

Berkenaan tuduhan mendagangkan agama melalui pengenaan bayaran masuk, timbalan pengurusnya, Shahrulnizam Baharudin berkata pameran mereka bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan.

“Lebih mengecewakan apabila seorang Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengatakan apa yang kami buat itu syirik, malah saya cuba hubungi sendiri beliau namun tidak berjaya,” dakwanya.

“Sekiranya pameran yang dilakukan pihak kami itu tidak betul dan khurafat kenapa seluruh agamawan yang datang tidak mempertikaikan atau mendakwa perbuatan itu khurafat.

“Kalau nak kata kami mahu keuntungan, kami rasa tidak berbaloi pun dengan harga tiket yang kami kenakan, kerana kos insuran barang-barang tersebut mencecah RM5 juta, malah caj tiket yang kami kenakan itu bertujuan pengurusan semasa sahaja,” katanya kepada FMT.

Artifak Nabi dipamer di Melaka 100% asli – penganjur

Penganjur menjemput mana-mana pihak yang mempertikaikan kesahihan peninggalan itu untuk turun ke lokasi pameran dan berjumpa pakar etnologi, Prof Dr Abd Manan Embong.



MELAKA - Kesemua artifak Nabi Muhammad SAW yang dipamerkan di Muzium Al-Azim di Bukit Palah, Melaka adalah 100% asli, kata penganjur Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat.

Timbalan Pengurus ANO Ventures Sdn Bhd, Shahrulnizam Baharudin, keaslian kesemua 40 artifak yang dipamerkan itu – termasuk darah bekam Nabi berusia 1400 tahun – telah dinilai oleh pakar etnologi, Prof Dr Abd Manan Embong yang juga salah seorang individu yang terlibat menjayakan pameran itu.

“Artifak tersebut 100% asli termasuk darah nabi. Sekiranya mana-mana yang tidak percaya mereka boleh datang dan melihatnya sendiri sepanjang tempoh pameran berjalan,” katanya kepada FMT.

Shahrulnizam berkata penganjur tidak akan membawa peninggalan-peninggalan Rasulullah itu ke Malaysia sekiranya tiada kesahihan.

“Boleh berjumpa sendiri dengan pakar, Prof Dr Abd Manan Embong untuk pengesahan. Malah seluruh agamawan yang hadir yakin bahawa barangan tersebut adalah asli.”

Artifak yang dipamerkan di Melaka ini menjadi titik perbalahan susulan gambar darah bekam Nabi Muhammad SAW berusia 1400 tahun daripada pameran itu dimuat naik ke Facebook. Ramai yang mempertikaikannya, dan ramai juga yang mempertahankannya.

Merungkai isu ini, Shahrulnizam berkata pengurusan dan penjagaan darah bekam itu dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Saya tengok darah tersebut seperti darah lama, bukan seperti darah baru dan berada di dalam bekas tersebut tidak pernah dibuka,” katanya berkongsi pemerhatian peribadi dengan FMT.

“Darah tersebut ditemui di India, dan cara penjagaan darah tersebut diuruskan pihak Arab Saudi dan berkemungkinan mereka yang bertanggungjawab bila sampai waktu untuk menukar bekas menyimpan darah tersebut.

“Pihak kami hanya menjaga darah tersebut sepanjang pameran sebagaimana pihak insuran arahkan,” jelasnya.

Lebih 40 artifak barangan peninggalan Rasullah yang dipamerkan antaranya rambut, kesan tapak kaki, capal, pedang, darah bekam, cop mohor dan kain penutup makam sempena Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat bermula 15 Mei sehingga 2 Jun.

Artifak diterbangkan dari Arab Saudi, Syria, India dan Brunei dengan kos keseluruhan RM4 juta. Penganjuran pameran itu dilaksanakan oleh Warisan MAR, Yayasan Pembangunan Insan Nusantara Malaysia menerusi Pakar Etnologi Tempatan, Prof Dr Abd Manan Embong dan ANO Ventures Sdn Bhd.




Pengunjung ditahan cuba puja artifak Nabi

MELAKA - Penganjur Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat telah menangkap dua hingga tiga individu yang dipercayai cuba memuja artifak yang dipamerkan.


Penangkapan itu dimaklumkan sendiri oleh penganjur, ANO Ventures Sdn Bhd kepada FMT. FMT menghubungi mereka bagi mengulas perdebatan sekitar pameran artifak yang dikhuatiri boleh membawa kepada khurafat.

“Sepanjang 10 hari pameran berjalan dengan baik, cuma terhadap dua, tiga pengunjung yang datang dan membuat pembakaran asap untuk melakukan upacara menyembah (khurafat), tetapi kita berjaya menahan dan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka,” kata timbalan pengurusnya, Shahrulnizam Baharudin.

Shahrulnizam menjelaskan pihak penganjur melarang sebarang aktiviti pemujaan artifak kerana pameran itu sekadar untuk penghayatan sejarah semata-mata.

“Kita ada 52 pegawai yang bertugas selama 24 jam yang terdiri daripada bekas-bekas komando, kita amat tegas tentang benda ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md Amin menjelaskan tujuan pameran itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia menghayati peninggalan Nabi Muhammad SAW dengan lebih dekat, terutamanya mereka yang tidak mampu ke luar negara.

“Tujuan pameran itu bukannya untuk menyembah bagi tujuan syirik. Lagipun kita tidak benarkan mana-mana pihak buat zikir serta pemujaan,” tegas Yaakub.

Lebih 40 artifak barangan peninggalan Rasullah yang dipamerkan di Masjid Al-Azim di Bukit Palah, Melaka antaranya rambut, kesan tapak kaki, capal, pedang, darah bekam, cop mohor dan kain penutup makam sempena Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat bermula 15 Mei sehingga 2 Jun.

Artifak diterbangkan dari Arab Saudi, Syria, India dan Brunei dengan kos keseluruhan RM4 juta. Penganjuran pameran itu dilaksanakan oleh Warisan MAR, Yayasan Pembangunan Insan Nusantara Malaysia menerusi Pakar Etnologi Tempatan, Prof Dr Abd Manan Embong dan ANO Ventures Sdn Bhd.

http://www.freemalaysiatoday.com/cat...ra-darah-nabi/

0 comment... add one now