Punca Sewa Tapak Bazar Kini Cecah RM39K

PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin hanya pandai bercakap sebaliknya gagal turun padang menyelesaikan masalah yang dihadapi peniaga.

Bidasan itu dibuat Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah selepas mendakwa peniaga bazar Ramadan dikenakan caj sewa tapak niaga yang terlalu tinggi, mencecah RM39 ribu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sebaliknya pihak KPDNKK menyalahkan pihak peniaga apabila harga makanan dinaikkan bagi menampung kos tapak yang terlalu tinggi itu.

“Menteri sepatutnya turun padang dan menyelesaikan masalah peniaga kerana bazar Ramadan di bawah seliaan KPDNKK.

"Mereka dikenakan caj sewaan tapak dari RM10 ribu hingga RM39 ribu.

“KPDNKK juga tidak seharusnya menyalahkan peniaga semata-mata apabila mengenakan harga makanan mahal. KPDNKK hanya tahu salahkan peniaga, mereka tidak tahu masalah ini berpunca daripada pihak lain, sepatutnya mereka berunding dengan pihak PBT yang mengenakan sewa yang tinggi,” katanya kepada FMT.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya Hamzah selaku menteri yang bertanggungjawab kena perbanyakkan aktiviti turun padang melihat sendiri masalah yang dihadapi peniaga.

“Kami harap menteri ini jangan menggunakan teori (pandai bercakap), sebaliknya kena praktikal (turun padang), kalau cara menteri nak selesaikan masalah rakyat pun tak betul kesannya adalah kepada kerajaan, kerana rakyat akan mula hilang sokongan terhadap pemerintah,” katanya.


http://www.freemalaysiatoday.com/cat...9-ribu-ikhlas/


Jual Akok Pun Dapat RM7k

Kuih akok yang siap dimasukkan ke dalam plastik untuk mempermudahkan urusan pembelian kerana pelanggan yang ramai.

PASIR MAS: Permintaan tinggi terhadap kuih 'akok RISDA' di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang termasuk dari luar Kelantan menyebabkan kuih tradisional itu terpaksa 'diterbangkan' ke Lembah Klang hampir setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Setiap hari, sebanyak 200 biji akok akan dibawa menaiki kapal terbang pada jam 12 tengah hari untuk dihantar kepada peniaga di sekitar Lembah Klang.

Pengurusnya, Norlidawatie Kamaruzaman, 25, berkata sambutan luar biasa pada tahun ini termasuk permintaan pelanggan dari luar Kelantan menyebabkan mereka mengambil inisiatif menghantar kuih berkenaan menggunakan kapal terbang.

"Alhamdulillah, akok kami yang dikenali sebagai 'akok RISDA' kerana bersebelahan pejabat RISDA sering menjadi tumpuan setiap kali menjelang Ramadan.
"Setiap hari, kami mampu menjual 3,000 biji akok bermula jam 9 pagi hingga 3 petang dengan anggaran pendapatan sehari sebanyak RM7,000.

"Kami juga baru membuka cawangan di Berek 12, berdekatan bangunan Aman Razak, Kota Bharu, sejak awal Ramadan lalu," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Norlidawatie berkata, selain permintaan dari Lembah Klang, akok yang diusahakan mereka sekeluarga turut dijual di Jerteh, Terengganu.

"Peniaga di Jerteh sanggup datang setiap hari ke kedai kami untuk mendapatkan bekalan akok kerana permintaan tinggi di negeri berkenaan.

"Akok dijual di sini hanya akok bunga dengan harga RM4 sebiji dan terdapat juga akok 'reject' RM3 sebiji yang dijual lebih murah kerana terlampau hangus atau hancur tetapi tetap mendapat sambutan pembeli," katanya.

Norlidawatie berkata, keenakan akok diwarisi daripada kedua ibu bapanya itu mampu bertahan selama seminggu jika disimpan dalam peti ais, menyebabkan sambutan diterima amat menggalakkan.
"Kita mempunyai resepi khusus untuk menghasilkan kuih akok ini. Sudah tentu kuih kami berbeza dengan peniaga lain menyebabkan ramai menunggu kuih kami setiap kali Ramadan.

"Setiap tahun permintaan akok meningkat sehingga ada kalanya kami sendiri tidak menang tangan kerana seawal jam 10 pagi, ada pelanggan sudah beratur," katanya yang mengusahakan perniagaan itu selama 18 tahun dan mempunyai 40 pekerja.

0 comment... add one now