“Selepas raya, saya berkahwin, tetapi belum ada tarikh muktamad. Apa yang pasti saya mahu berkahwin dalam tahun ini kerana usia pun dah 34 tahun. Saya hanya akan bernikah dan tidak akan mengadakan sebarang resepsi. Majlis kecil-kecilan sahaja dan tidak akan ada sidang akhbar seperti selebriti lain sebab segan sudah tua dan ini perkahwinan kedua,” katanya sambil tersenyum manis.
SELEPAS tujuh tahun hidup bersendirian, tahun ini bakal menjadi Ramadan solo terakhir buat aktres Nora Danish yang mengaku akan menamatkan zaman jandanya usai sambutan Aidilfitri kelak. Pengakuan itu dibuat Nora ketika ditemui pada majlis sidang akhbar filem Jurassic World versi bahasa Malaysia baru-baru ini.Menurut Nora, yang telah biasa menyambut Ramadan dan Aidilfitri tanpa insan bergelar ‘lelaki’ di sisi selepas bercerai pada 2008. Dibesarkan tanpa bapa yang meninggal dunia pada usia muda, Nora merancang mahu berkahwin dengan buah hatinya, Nedim Nazri dalam tahun ini juga memandangkan usianya semakin bertambah.
Sungguhpun kerap diajukan soalan tentang perkahwinan, ibu kepada Putra Rayqal Rizal Ashram, 7, tidak pernah lelah menjawab soalan tersebut, malah menjelaskan dengan cukup tenang. Nora yang wajib menyambut Aidilfitri di kediaman keluarga bekas mertua menjelaskan, rutin tersebut akan berubah andai dia mendirikan rumah tangga kelak.
“Biasanya pada malam raya dan hari raya pertama, saya akan berada di kediaman keluarga bekas mertua kerana anak Putra Rayqal ada di sana. Saya hanya mempunyai seorang anak dan dia merupakan cucu pertama dalam keluarga bekas mertua. Justeru, diwajibkan setiap kali hari raya Raqyal perlu ada bersama datuk dan neneknya untuk berkumpul dengan semua sepupu.
“Jika tidak pergi bermakna saya terpaksa berpisah dengan anak pada hari raya. Bagi saya perkara itu sangat mustahil. Walaupun tiada lagi hubungan perkahwinan, tidak salah untuk ke sana kerana mertua ibarat ibu dan bapa sendiri. Apa yang penting niat, lainlah jika telah berkahwin kelak, sudah pasti saya akan mengutamakan suami tercinta terlebih dahulu dan rutin itu pasti akan berubah,” tuturnya.
Menyambung bicara tentang hubungan baiknya dengan keluarga bekas mertua, Nora memberitahu setiap tahun dia akan berhadapan dengan kecaman daripada orang ramai yang tidak senang melihat keakraban mereka. Saban kali juga Nora terpaksa berhadapan kecaman itu terutama setiap kali dia memuat naik gambar sambutan raya bersama keluarga mertua.
Enggan mengambil pusing kata-kata negatif, jelas Nora dia sudah lali dan kebal dengan segala bentuk kecaman dilemparkan terhadapnya. Bahkan, bekas ibu mertuanya, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah turut menasihatkan lebih baik menjaga hati sendiri dan keluarga berbanding orang lain.
“Selalunya malam raya pun sudah mula orang melemparkan pelbagai kata-kata kurang manis apabila saya memuat naik gambar bersama keluarga mertua di Instagram. Saya tidak faham kenapa orang di luar perlu bising. Sepatutnya jika dilihat pada sudut berbeza yang peritnya ialah saya kerana terpaksa mengulangi situasi sama setiap tahun walaupun sudah tidak ada ikatan kekeluargaan.
“Namun, saya anggap sambutan Aidilfitri bersama mereka adalah satu kebaikan dan perkara positif. Saya dan keluarga bekas mertua lebih mementingkan perkara yang nyata di depan mata seperti keluarga, adik-beradik dan anak berbanding memikirkan pandangan peminat serta orang lain. Buat apa ambil peduli kata orang, bukan mereka yang membesarkan saya dan memberi kasih sayang,” ujar Nora tegas.
Ligat berniaga
Sudah menjadi rutinnya hampir tiga tahun, setiap kali Ramadan, Nora tidak mengambil sebarang tawaran lakonan. Sebaliknya akan memberi tumpuan kepada ibadah dan keluarga. Bagaimanapun, tahun ini sedikit berbeza apabila bintang filem Polis Evo itu semakin sibuk dengan perniagaan makanannya.
Selepas menutup operasi kafe Kopi & XOXO di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nora telah menggantikannya dengan membuka dua cawangan kafe berkenaan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur (TTDI) dan Bangi, Selangor. Justeru, sepanjang bulan Ramadan dia sibuk menguruskan kafe yang baru beroperasi itu.
Menjelaskan penutupan kafe di Bangsar yang didakwa berlaku kerana dia tidak mampu membayar sewa, Nora menafikan sekeras-kerasnya.
“Siapa kata saya tidak mampu bayar, walhal bangunan tersebut dikongsi bersama butik Rumoda. Selepas butik tersebut berpindah, saya perlu mengendalikan seluruh bangunan dan dirasakan tidak berbaloi. Jika saya tidak mampu bayar kenapa buka dua kafe selepas itu?
“Dalam kalangan keluarga dan rakan, mereka memahami perkara sebenar, cuma peminat mungkin terpengaruh dengan cerita tidak benar itu. Kebetulan ketika menutup kafe di Bangsar, saya dapat rezeki membuka dua cawangan sekali gus. Selepas ini mungkin saya merancang untuk membuat francais kafe tersebut,” tuturnya sambil memberitahu kafenya dibuka bermula pukul 10 malam sehingga 4 pagi setiap hari sepanjang Ramadan.
Disoal tentang cabaran menguruskan dua kafe serentak, kata Nora seperti orang lain yang menjalankan perniagaan makanan respon negatif dan kritikan biasa diterimanya. Meskipun begitu, selepas setahun berpengalaman dalam operasi kafe di Bangsar sebelum ini, Nora menjelaskan dia mampu mengatasi setiap kritikan berkenaan dengan baik.
“Biasalah apabila kafe baru, kadangkala makanan datang lambat dan orang akan kritik, tetapi setakat ini semuanya berjalan lancar. Saya tidak masuk dapur kerana sudah ada cef profesional. Tugas saya hanyalah mempromosikan kafe dan menjadi pelayan,” luahnya.
Beralih bicara tentang kerjaya seninya, mungkin ada pihak menganggap dia sudah tidak berminat dengan lakonan apabila menolak banyak tawaran sejak kebelakangan ini. Tegasnya, dia hanya berehat daripada berlakon pada Ramadan sahaja tetapi akan kembali bekerja seperti biasa selepas sambutan Aidilfitri.
“Memang apabila semakin sibuk dengan perniagaan, saya kurangkan lakonan. Saya pilih juga karya dan paling teringin mahu berlakon dalam cerita genre serius. Tawaran itu ada, tetapi semuanya menjalani penggambaran pada Ramadan sedangkan saya memang berehat waktu itu,” katanya.
Dalam pada itu, Nora yang terlibat dengan filem Jurassic World yang dialih ke Bahasa Malaysia berkongsi pengalaman sebagai suara watak Claire. Katanya, biarpun hanya melakonkan suara, proses dubbing selama dua hari mempunyai cabaran tersendiri.
“Walaupun saya hanya melakonkan suara ke bahasa Malaysia, ia tetap sukar kerana terpaksa menghabiskan dialog mengikut gerak mulut pelakon filem tersebut. Apapun, yang paling teruja sudah tentu anak saya, Rayqal kerana dia amat meminati filem tersebut,” tutur Nora.
Selain Nora, filem Jurassic World versi bahasa Malaysia yang dibawakan oleh HBO Asia turut dibintangi oleh Hisyam Hamid, Izzue Islam, Wafiy, Bront Palarae, Fahrin Ahmad, Nabil Ahmad, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Akhmal Nazri, Syazwan Zakariah, Shalma Ainaa dan Abby Fana. Ia akan ditayangkan pada 6 Julai depan sempena sambutan Aidilfitri di HBO (Astro saluran 411/431).