Polis Kuantan Denda RM300 Kerana Main Pokemon Go


Kes pertama berlaku di Kuantan, Pahang ketika seorang pemuda memburu raksasa Pokemon yang tersembunyi sambil memandu, semalam.

KUANTAN - Polis trafik mengingatkan orang ramai tidak bermain Pokemon Go sambil memandu atau saman RM300 akan dikenakan kepada mereka yang ingkar, kerana tindakan itu membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Menurut laporan Sin Chew Daily, kes pertama berlaku di Kuantan, Pahang ketika seorang pemuda memburu raksasa Pokemon yang tersembunyi sambil memandu semalam.

Tindakan itu dikesan seorang anggota polis trafik yang kemudiannya mengeluarkan saman RM300 atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), SAC Mahamad Akhir Darus berkata, tindakan memandu sambil bermain aplikasi permainan, menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) atau menjawab panggilan telefon tanpa menggunakan alat “hands free” menyalahi Akta Pengangkutan Jalan.


“Pemandu akan hilang tumpuan dan mungkin menyebabkan kemalangan, membahayakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Semalam, media melaporkan permainan Pokemon Go kini boleh didapati di Malaysia dan orang ramai boleh memuat turun aplikasi itu menerusi App Store atau Google Play secara percuma.

Permainan itu menggunakan kamera pada telefon bimbit, Internet dan data GPS untuk memburu raksasa Pokemon yang tersembunyi di beberapa lokasi.

Bagaimanapun, umat Islam di Wilayah Persekutuan dilarang bermain Pokemon Go atas faktor ‘maslahah’ dan kemudaratan.

Kelmarin, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri melalui satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lalu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut menggesa permainan itu diharamkan ia lebih banyak mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan.

Bukan itu sahaja, beberapa negara dan jabatan kerajaan juga memutuskan untuk menyekat dan menghalang permainan itu.
http://www.freemalaysiatoday.com/cat...ru-pokemon-go/

0 comment... add one now