Polis Berjaya Halang Datuk Khairuddin Dedah 1MDB Pada FBI

Awal bulan ini Khairuddin dalam satu temuramah memaklumkan mahu mengemukakan beberapa dokumen berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada pihak penguatkuasa di Amerika.
(gambar hiasan)

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ditahan pada petang Jumaat, dijadualkan mengadakan pertemuan dengan agen Biro Siasatan Persekutuan, (FBI), di Amerika Syarikat, Isnin ini, lapor akhbar New York Times (NYT) pada Jumaat.

Peguamnya Mathias Chang dalam satu temuramah melalui telefon dengan akhbar berkenaan memaklumkan, temujanji itu dibuat dengan bantuan dari Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Chang memberitahu, pemergian Khairuddin bagaimanapun gagal, kerana beliau dimaklumkan dihalang daripada meninggalkan negara ini oleh Jabatan Imigresen dengan arahan Ibu Pejabat Polis.
"Ini adalah satu penyalahgunaan kuasa bagi mengelak laporan ini daripada sampai ke tangan penguatkuasa di Amerika," tegas Chang.

Khairuddin ditahan di bawah Akta 124C atas tuduhan cuba menggulingkan kerajaan.

Penahanan dibuat beberapa jam sebelum Khairuddin dijadual berlepas ke New York.

"Adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk mengatakan tindakan kami akan menjejaskan demokrasi," kata Chang.
Prosiding pendengaran ikat jamin ke atas Khairuddin dijadual pada hari ini.
Sebelum ini, Khairuddin dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya, memaklumkan pihak PDRM telah meminta beliau hadir ke Bukit Aman pada Isnin depan untuk diambil keterangan berhubung tindakannya menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland berhubung 1MDB.

Portal berita The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini, pegawai kerajaan telah menuduh Khairuddin membuat laporan 'palsu' dan 'bermotifkan politik'.-astroawani 

0 comment... add one now