Khalid Ibrahim Menang Lagi Tanpa Bertanding

Khalid Ibrahim Menang Lagi Tanpa Bertanding-Pada kongres berkenaan, tiga daripada empat Naib Presiden iaitu Datuk Emran Kadir, Datuk Seri Subahan Kamal dan K. Palanisamy mengekalkan jawatan masing-masing dalam pemilihan yang diadakan. 

Bagaimanapun Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan bin Md Ikshan tidak mahu mempertahankan jawatannya sebagai salah seorang Naib Presiden dan digantikan oleh Datuk Samin Sarmin.
khalid ibrahim menang
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) setelah menang tanpa bertanding pada kongres tahunan ke-64 persatuan itu yang berlangsung di Kelab Shah Alam, dekat sini, Isnin.

Beliau menyandang kerusi Presiden FAS sejak tahun 2010 setelah mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Timbalannya, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad turut mengekalkan jawatan setelah menang tanpa bertanding pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAS bagi penggal 2014-2018 yang berlangsung pada kongres itu.

Enam muka baharu turut dilantik menganggotai jawatankuasa eksekutif FAS bersama tujuh muka lama.

Mereka adalah Omar Ali, Noor Hisham Mohd Ghouth, Ariffin Hamid, Datuk P. Sugumaran, Abd Rauf Ahmad dan Adanan Sariff manakala tujuh muka lama adalah Bendahari FAS Datuk S. Sivasundaram, Razak Abdul Karim, V. Thalayasingam, Mustaza Ahmad, K. Santhanaraju, R.Sekar Chandra dan Y.Suntharasagaran.

Dalam pada itu, Abdul Mokhtar yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam laman web rasmi FAS, www.faselangor.my. dipetik sebagai berkata kongres berkenaan berjalan lancar walaupun mengakui terdapat segelintir pihak yang cuba menggugatnya.

Katanya, kritikan menerusi pelbagai medium laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang diluahkan oleh segelintir penyokong Selangor merupakan satu pengajaran yang harus diambil ikhtibar oleh kepimpinan baharu FAS.

"Saya faham jiwa anak muda yang menuntut transformasi dalam FAS, malah saya sudah bersedia untuk membawa transformasi di tahap maksimum bermula hari ini," katanya.

Beliau berkata, langkah pertama perubahan itu adalah dengan meletakkan beberapa calon muda dalam pemilihan kali ini terdiri daripada golongan profesional dalam bidang masing-masing dan bekas pemain Selangor untuk diserap ke dalam barisan exco FAS.

Abdul Mokhtar turut menggesa kepimpinan baharu FAS bekerja keras dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor pada masa akan datang sambil menggesa mereka untuk memperbaiki beberapa kelemahan yang wujud dalam pengurusan pasukan.

0 comment... add one now