Rakyat Belanda Beratur 100 Kilometer Hormati Jenazah MH17

Rakyat Belanda Beratur 100 Kilometer Hormati Jenazah MH17

Kagum melihat rakyat Belanda yang beratur lebih 100 kilometer bagi menghormati ketibaan jenazah mangsa nahas MH17 di Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, antara pengalaman menyentuh hati wartawan dan jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) semasa membuat liputan tragedi yang menimpa pesawat malang itu di Ukraine dan Belanda.

Bagi Ketua Meja Jenayah Bernama, Mohd. Razman Abdullah dan jurufoto, Zulkarnain Kamaruddin, pengalaman selama 17 hari membuat liputan berhubung tragedi itu merupakan satu pengalaman yang amat sukar dilupakan.

Mereka membuat liputan di Ukraine bermula 18 Julai hingga 25 Julai, dan 26 Julai hingga 4 Ogos di Belanda.


"Walaupun mereka tak mempunyai sebarang pertalian saudara dengan mangsa namun mereka tunjukkan solidariti, sanggup berbaris di sepanjang laluan Hilversum ke Amsterdam ketika jenazah dibawa dari Ukraine pada 23 Julai lepas," kata Zulkarnain ketika menjadi tetamu dalam Rancangan Khas Hari Perkabungan Negara yang dihoskan Mazidul Dani terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Kerajaan semalam mengeluarkan senarai nama 20 jenazah mangsa tragedi MH17 warga Malaysia yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL untuk istiadat penghormatan hari ini.
"Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan rakyat Belanda dalam menghadapi insiden itu dan ia sesuatu yang harus kita contohi," katanya.



Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - ditembak jatuh namun setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.
Sejumlah 195 warga Belanda dan 43 warga Malaysia antara penumpang dan anak kapal yang berada dalam pesawat malang itu.

Sementara itu, Razman berkata pengalaman diekori pihak keselamatan 24 jam dan berpuasa sehingga 18 jam sehari antara cabaran yang terpaksa ditempuhi mereka.




Mohd Razman berkata, faktor keselamatan sangat dititikberatkan pihak Ukraine berikutan keadaan negara itu yang bergolak akibat peperangan antara kerajaan dan pemberontak.

"Ketika berada di sebuah hotel di Kiev, kerajaan Ukraine menempatkan anggota keselamatannya di setiap tingkat bagi mengawasi pergerakan pengamal media serta delegasi pasukan khas dari Malaysia.

"Selain itu, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kiev di Ukraine, kami dinasihat untuk tidak mengambil dan memuat naik sebarang gambar di lapangan terbang tersebut ke laman sosial kerana boleh dianggap sebagai maklumat risikan," katanya.

0 comment... add one now