Jakarta: Anggota Dewan Perwakilan Rakyat dari Parti Keadilan Sejahtera, Al Muzammil Yusuf, semalam mempertahankan amalan memeriksa status wanita yang ingin menjadi anggota polis.
Kata Al Muzammil, amalan dikenali sebagai “ujian dua jari” itu perlu dilakukan bagi memastikan bakal anggota keselamatan memiliki moral yang tinggi.
“Selain alasan moral, ujian d@ra seseorang wanita juga sesuai dengan adat masyarakat timur,”katanya.
Beberapa hari lalu pertubuhan Human Rights Watch mengecam pihak berkuasa Indonesia kerana melakukan ujian d@ra ke atas wanita yang memohon menjadi polis.
Sesetengah calon, kata pertubuhan itu, mengalami trauma dan berasa dihina.
Namun pegawai atasan polis, termasuk Ketua Polis Indonesia, Jen Sutarman, menafikan amalan itu masih dipraktikkan.
“Siapa yang mengesahkan ujian itu masih dijalankan? Institusi polis tidak pernah mengadakan ujian sedemikian ke atas calon berdaftar.
“Kami hanya menjalankan ujian kesihatan yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Perhubungan Awam Polis Indonesia, Ronnie Franky Sompie memberitahu, ujian kesihatan saja sudah memadai untuk menentukan kesesuaian seseorang wanita diterima sebagai anggota polis. - Agensi