Lagi Dua Ladang Ternakan Ikan Organ Babi Dikesan
Shah Alam: Jabatan Perikanan Negeri Selangor mengesan dua ladang
ternakan ikan tidak berdaftar di negeri ini yang disyaki memberi organ babi
sebagai makanan kepada ternakan mereka.
Pengarahnya, Sufian Sulaiman berkata, ladang berkenaan masing-masing
terletak di Batu Arang dan Kuang, Rawang, memelihara ikan keli serta patin
dan siasatan dilakukan selepas pihaknyamenemui bukti fizikal yang disyaki
tulang babi sekitar kolam berkenaan.
“Kami menemui tulang tetapi kami perlu jalankan beberapa ujian untuk
memastikan ia adalah tulang babi dan kita sedang menunggu keputusan ujian
DNA terhadap tulang yang ditemui itu.
“Kami sudah memberi amaran kepada penternak supaya tidak melakukan
kesalahan itu dan sekiranya amaran tidak diendahkan, tindakan tegas akan
diambil termasuk menyita ladang ternakan mereka,” katanya ketika dihubungi,
semalam.
Mohd Sufian berkata, di Selangor terdapat lebih 10,000 kolam ternakan
ikan yang berdaftar dan pihaknya akan terus membuat pemantauan di semua
kolam ternakan secara lebih terperinci bagi mengelakkan hasil ternakan yang
diberi makan babi dijual kepada umum.
“Pihak kami juga sedang mengenal pasti semula kolam ternakan yang ada
di Selangor dan akan membuat pemeriksaan lanjut dari semasa ke semasa.
“Penternak perlu mematuhi Akta Makanan 1983 yang bertujuan melindungi
orang awam daripada bahaya kesihatan dan penipuan pada penyediaan,
penjualan dan menggunakan makanan dan perkara yang berkaitan dengannya
supaya dapat memastikan hasil ternakan tiada unsur babi,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan, pemeriksaan yang dijalankan Jabatan
Perikanan Perak terhadap sebuah kolam ternakan ikan patin yang kering
berhampiran kawasan Lahat, menemui rangka dan serpihan tulang haiwan
dipercayai babi.