Soalan :
Assalamualaikum ustaz, ada rakan bertanyakan kepada saya berkenaan kelebihan meninggal dunia pada hari jumaat.Apakah sebenarnya yang terjadi?
Adakah benar mereka yang meninggal dunia pada hari tersebut akan dijauhkan daripada azab kubur?
Minta pandangan ustaz.
Jawapan :
الحمد لله رب العالمين, وبه نستعين, والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين, سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن اهثدى بهديه واستن بسنته إلى يوم الدين, أما بعد,
Diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi didalam sunan-nya hadith daripada Abdullah bin Amru, beliau berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : “Tiada seorang pun dariapada kalangan orang muslim yang meninggal dunia pada hari jumaaat atau pada malam jumaat melainkan dia dipelihara oleh Allah s.w.t daripada azab kubur.”
Pandangan ulama’ berkenaan taraf hadith :
Berkata Abu Isa : Hadith ini dho’if (gharib) dan sanadnya (rantaian perawinya) tidak bersambung.
Imam Ibnu Hajar Al-Athqolani pula berkata bahawa hadith ini daripada kategori hadith dho’if
Imam Al-Albani pula berpendapat bahawa hadith ini daripada kattegori hadith hasan atau sahih jika dilihat dari seluruh jalan periwayatan (bermaksud hadith ini diriwayatkan melalui banyak jalan periwayatan dan masing-masing menyokong antara satu sama lain lalu mengangkat taraf hadith ini daripaada dho’if kepada hasan atau sahih mengikut kaedah ilmu hadith.)
Secara keseluruhan, kebanyakan ulama’ hadith berpenddapat bahawa hadith ini adalah hadith dho’if (lemah).Maka hadith dho’if tidak boleh dijadikan sandaran dalam perkara yang berkaitan dengan aqidah (kerana azab kubur merupakan perkara ghaib yang wajib diimani dan merupakan sebahagian dari pegangan aqidah umat islam).
Walaupun hadith dhoif masih lagi didalam kategori hadith yang diterima, namun antara syarat untuk beramal dengannya adalah tidak meyakini sepenuhnya ia datang dari Nabi s.a.w. Dalam erti kata yang lain, kita tidak boleh meyakini 100% bahawa orang yang meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam jumaat akan dipelihara oleh azab kubur merujuk kepadataraf hadith tersebut.
Kerana sesungguhnya apa yang membantu seseorang muslim itu didalam kubur nanti adalah amalannya, bahkan ramai daripada kalangan Sahabat -radhiallahu ‘anhum- yang meninggal dunia pada hari selain daripada hari jumaat. Saidina Abu Bakar r.a sendiri meninggal dunia pada hari selasa menurut satu riwayat akan tetapi beliau sendiri telah dijanjikan syurga baginya.
Sebahagian ahli ilmu pula maenjadikannya sebagai tanda tanda husnul khatimah bersandarkan kepada hadith ini.
Maka seadil-adil pegangan dalam perkara ini adalah sekiranya muncul tanda-tanda seperti ini maka sebagai seorang muslim kita tidak boleh mengatakan secara pasti bahawa si mati dijauhkan dari azab kubur, akan tetapi tidak salah untuk merasa tenang dengan pemergiannya pada hari yang mulia ini,
begitu juga sebaliknya, kita tidak boleh berkeyakinan bahaawa jika tidak muncul tanda-tanda husnul khatimah (meninggal dunia pada hari jumaat atau malam jumaat) pada si mati, maka secara pasti dia bukan daripada kalangan orang-orang soleh dan dikenakan azab kubur kerana perkara ini tergolong dalam perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah s.w.t sahaja.
Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Luqman ayat ke 24 :
“Sesungguhnya hanya disisi Allah ilmu tentang hari kiaamat; dan Dia yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam Rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya esok, dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui dibumi mana dia akan mati.Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Sesungguhnya manusia tidak mengetahui dimana dan bila dia akan mati kerana ilmu tentang kematian milik Allah s.w.t secara mutlak.Oleh se bab itu,yang lebih penting bagi seorang hamba itu adalah beramal dengan amal yang soleh serta mencari keredhaan-Nya dalam setiap perkara yang dilakukan.
Wallahua’lam.
rujukan:
- Fatwa Asyabakah Al-Islamiah, No. 5278, 28696, 57241, 72241.
- Fatwa Al-Azhar ; Ad-Duktur Atiyyah Saqr.
- Umdatul Qari’ Syarh Sohihul Bukhari.
- Syarh Sohihul Bukhari li-Ibni Abi Bathol.
- Tuhfatul Ahwazi.
- Fatwa Mauqi’ Al-alukah.
- Fatwa Nur ‘Ala Al-Dari li-Ibnu Uthaimin.