Minyak Masak Guna Dua Kali Tidak Sebabkan Kanser

Minyak Masak Guna Dua Kali  Tidak Sebabkan Kanser
KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa kandungan akrolein yang didapati dalam minyak masak terpakai boleh menyebabkan kanser, tidak dapat dibuktikan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya berdasarkan kajian Agensi Penyelidikan mengenai Kanser (IARC), akrolein tidak dapat diklasifikasi sebagai karsinogen (bahan yang boleh menyebabkan kanser) kerana tiada bukti kukuh bahan itu bersifat karsinogenik.

Beliau merujuk kepada laporan akhbar tempatan tiga hari lepas yang menasihatkan orang ramai tidak menggunakan minyak masak kitar semula lebih daripada tiga kali kerana dikhuatiri telah bertukar menjadi racun akrolein yang boleh mengakibatkan kanser.

"Kementerian amat peka dan prihatin terhadap isu keselamatan makanan yang boleh mengancam kesihatan pengguna," kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Beliau berkata akrolein adalah cecair tidak berwarna dengan bau terbakar dan menusuk hidung, yang dihasilkan daripada perindustrian 'propylene' dan diguna sebagai racun perosak mengawal alga, rumpai, bakteria dan moluska serta untuk membuat bahan kimia lain.


Selain itu, akrolein boleh terbentuk pada kadar yang sangat rendah semasa pemanasan minyak pada suhu tinggi, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pendedahan kepada akrolein kebanyakannya berlaku melalui pernafasan contohnya asap rokok dan ekzos kereta.

"Akrolein boleh menyebabkan kerengsaan kepada kulit, mata dan rongga hidung, tekak serta boleh merosakkan paru-paru," katanya.

Beliau berkata setakat ini, kementerian tidak menetapkan standard bagi tempoh ideal atau kekerapan menggunakan minyak masak sebelum perlu dibuang, kerana dipengaruhi pelbagai faktor termasuk jenis makanan, kandungan air dalam makanan, kekerapan penggorengan dan suhu menggoreng.

Bagaimanapun katanya minyak masak yang telah diguna berulang kali perlu dibuang dan diganti jika warnanya menjadi perang pekat, menjadi likat atau pekat, berbau tengik atau menghasilkan asap yang banyak semasa dipanaskan.      

Kementerian katanya menyediakan panduan untuk pengguna membezakan kualiti minyak masak berdasarkan perubahan warna selepas digunakan berulang kali, selain cara pengendalian yang betul bagi meningkatkan jangka hayat minyak masak.

Panduan itu boleh didapati melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan iaitu http://fsq.moh.gov.my dan portal MyHealth http://www.myhealth.gov.my. - Bernama</div>

0 comment... add one now