Pengurusnya, Nor Zaina Wardah berkata, jika Yuna yang sepatutnya membawa lagu berjudul Lautan bertanding kali ini, mereka terpaksa menggunakan khidmat penyanyi lain untuk kali ketiga.
Kuala Lumpur: Penyanyi Yuna terpaksa menarik diri daripada menyertai pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 30 yang akan berlangsung pada 22 dan 29 November serta 6 Disember ini kerana terikat dengan jadual kerja yang padat di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
"Sudah beberapa kali Yuna meminta penyanyi lain menyanyikan lagunya. Walaupun TV3 membenarkan dia mengguna penyanyi lain tetapi Yuna kurang selesa apabila dia sendiri tidak dapat beraksi," katanya.
Dalam Anugerah Juara Lagu ke 27 (AJL27) Yuna menggunakan khidmat Aizat untuk menyanyikan lagu Terukir Di Binang manakala Najwa Mahiaddin & The Palauans menyanyikan lagu Lelaki dalam AJL29 tahun lalu.
Nor Zaina berkata, Yuna terlalu sibuk di AS dan dia memang tidak dapat hadir untuk peringkat separuh akhir termasuk peringkat akhir jika lagu itu layak.
Sementara itu, Pengurus Hiburan Prime Works Studio, Sufian Isa berkata, pihaknya menerima baik alasan diberikan pihak Yuna.
"Ketika kami memaklumkan kepada syarikat rakaman bahawa lagu Lautan layak ke separuh akhir, mereka menghantar surat maklum balas menyatakan Yuna tidak dapat bertanding.
“Kami boleh terima alasan mereka dan tiada masalah di pihak kami. Kami juga tidak akan menyenarai hitamkan Yuna kerana yakin dengan alasan yang diberikan,” katanya.
Keputusan itu sekali gus melayakkan lagu Hey Kau nyanyian Sandra layak ke separuh akhir Muzik Muzik 30.
Lagu ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran itu sebelum ini menduduki tangga ke-31 carta Muzik Muzik.
Sebanyak 30 lagu layak bertanding ke separuh akhir yang diumumkan dalam sidang media di Balai Berita NSTP, Jalan Riong, di sini, petang tadi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93743#sthash.67rTr153.dpuf