Gambar terakhir Then diambil ketika dalam tawanan di kepulauan Jolo.
MANILA: Seorang pegawai kanan tentera Filipina mendakwa kepala tebusan warga Malaysia, Bernard Then dipenggal oleh kumpulan militan Abu Sayyaf kerana tuntutan wang tebusan yang diminta tidak dipenuhi.
Komander Pasukan Petugas Bersama Sulu, Brigadier Jeneral Alan Arrojado berkata kumpulan Abu Sayyaf berpangkalan di Indanan yang diketuai pemimpin Alden Bagade dan Indang Susukan bertanggungjawab memenggal kepala Then.
Menurut Arrojado, rundingan gagal dicapai menyebabkan kumpulan itu memenggal kepala mangsa di Taran, Indanan pada pukul 4 petang.
Arrojado memetik sumber perisikan tentera berkata, kepala Then dipenggal dan dikebumikan dengan segera.
Beberapa jam sebelum pemenggalan, tentera melancarkan serangan udara ke atas wilayah yang dikuasai kumpulan Abu Sayyaf.
Arrojado berkata beliau telah mengarahkan unit Scout Ranger dan Marin untuk melakukan operasi memburu kumpulan itu dan mencari mayat mangsa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitternya pada malam Selasa memaklumkan polis masih belum dapat mengesahkan nasib Then buat masa ini lapor mStar.