Kelajuan Lebih 200KM Sejam Di LPT




FOTO dirakamkan di Kemaman, pada 31 Oktober, memaparkan Pegawai Penguatkuasa dan Operasi Lebuh Raya Deputi Superintendan, Mustaffa Bakri Salleh menggunakan kamera memerangkap had laju dalam operasi di LPT2.

KUALA TERENGGANU 9 Nov. – Jumlah saman dalam tempoh hanya empat hari operasi khas oleh polis di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang berakhir semalam menunjukkan gambaran yang terus membimbangkan dalam aspek pengabaian keselamatan oleh para pengguna.

Dalam tempoh itu, sebanyak 1,550 saman dikeluarkan dengan 802 daripadanya membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju, malah ada yang direkodkan mencecah lebih 200 kilometer sejam (km/j) di laluan yang masih lengang, di luar musim perayaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah memberitahu, 748 saman lagi membabitkan lain-lain kesalahan manakala enam kenderaan disita kerana pelbagai kesalahan seperti menggunakan nombor pendaftaran palsu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Selain itu, empat lelaki berusia 29 hingga 45 tahun turut ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mewakili Ketua Polis negeri, Datuk Rosli Abdul Rahman menutup Operasi Khas LPT2 di Pejabat Felda Wilayah Timur, Tepoh, di sini hari ini.

Operasi melibatkan 27 pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari cawangan trafik Kontinjen Terengganu, Bukit Aman dan Johor dengan kekuatan logistik 10 kereta peronda, 17 motosikal berkuasa tinggi, sebuah helikopter dan empat unit kamera perangkap had laju.

“Hasil operasi di LPT2 sepanjang 184 kilometer yang menggunakan kaedah perangkap had laju, rondaan cegah kemalangan dan pemantau dari udara membuktikan satu tindakan drastik perlu diambil.

“Sudah tentu kita melihat jumlah ini sesuatu yang membimbangkan terutama apabila kita turut merekodkan pemanduan berkelajuan 210 kilometer sejam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Aziz berkata, sebanyak 2,041 kes kemalangan direkodkan membabitkan 67 kemalangan maut dengan 87 kematian direkodkan sepanjang LPT2 dibuka bermula Ogos 2011.

Katanya, bagi tempoh sepanjang tahun ini hingga semalam, 803 kes kemalangan direkodkan membabitkan 32 kemalangan maut yang mengorbankan 45 nyawa.

Menurut beliau, memandu dengan laju sehingga terbabas, melanggar belakang dan bergesel dengan kenderaan lain masih menjadi punca utama dengan 463 kes (57.9 peratus) diikuti melanggar binatang sebanyak 112 kes (14.2 peratus), mengantuk (melanggar belakang/terbabas).

Ssebanyak 89 kes (11 peratus) manakala lintasan/lopak air sebanyak 77 kes (9.8 peratus)

“Sehubungan itu, polis akan mengadakan Op Had Laju dan rondaan di LPT2 secara berterusan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menceroboh kawasan LPT2 dengan memotong atau merosakkan pagar rezab.

“Tindakan saman juga akan dikenakan terhadap mereka yang meletakkan kenderaan untuk berehat di laluan kecemasan kerana ini turut mendedahkan kepada risiko kemalangan,” katanya. - Utusan

0 comment... add one now