PASUKAN Johor Darul Takzim (Johor DT) merupakan pasukan Asia Timur pertama yang berjaya memecahkan monopoli pasukan-pasukan Asia Barat pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Kejayaan skuad Johor DT menjuarai Piala AFC 2015 itu kini sudah mula membuka mata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lagipun pasukan dari selatan tanah air itu telah membuktikan bahawa kejayaan pasti datang jika sistem pengurusannya dikendalikan dengan cekap serta profesional.
Malah, FAM tumpang berbangga dengan kejayaan yang dilakar oleh skuad kendalian Mario Gomez itu yang menewaskan kelab Tajikistan, Istiklol FC 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Central Republican, Dushanbe malam kelmarin.
Gol kemenangan Johor DT dijaringkan oleh Leandro Velazques pada minit ke-23.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, Johor DT merupakan satu-satunya kelab dari Asia Timur, termasuk Asia Tenggara yang menjuarai kejohanan peringkat kedua tertinggi di Asia itu yang sebelum ini dikuasai oleh kelab-kelab dari negara Asia Barat iaitu, Kuwait, Jordan, Bahrain, Syria dan Uzbekistan.
“Sejak Piala AFC diperkenalkan pada tahun 2004, tidak pernah ada mana-mana pasukan dari Asia Timur muncul juara sehingga Johor DT mencipta sejarah malam tadi (malam kelmarin). Saban tahun wakil-wakil dari Malaysia hanya mampu melangkah setakat peringkat suku akhir.
“Saya bagi pihak FAM, mengucapkan tahniah kepada Johor DT atas kejayaan mereka muncul juara Piala AFC tahun ini,” jelas Hamidin.-kosmo